Followers

CINTA BUKAN LARANGAN - 2014 ( Limited Edition Only)

CINTA BUKAN LARANGAN - 2014 ( Limited Edition Only)
Ekslusif dan tidak dijual di kedai buku, hanya di blog dan fb penulis sahaja :untuk memesan : email arr_nita@yahoo.com/ FB : Anita Aruszi

BLURB CINTA BUKAN LARANGAN (New)

Tajuk : Cinta Bukan Larangan
Penulis : Anita Aruszi
Harga : RM32.90
Penerbit : GN Publishing
ISBN : 978-967-10425-3-3
M/s : 803ms
Genre : Cinta dan Kekeluargaan

Tagline
Cinta Ini Terlarang..
Ibarat Buah Khuldi Yang Haram Disentuh Adam…

Diaz dan Dina Azura, dua adik beradik yang membesar bersama tetapi tidak pernah sebulu. Ada sahaja yang tidak kena di hati Diaz yang terang-terangan membenci Dina Azura di dalam hidupnya. Sehingga ke satu tahap, dia cuba merogol gadis itu angkara kemarahan yang terpendam di lubuk hatinya. Namun tindakan itu telah merubah segala-galanya dalam hidup mereka. Kerana kesal dengan tindakannya, dia mengambil keputusan melarikan diri ke luar negara. Namun tindakan itu tidak mampu meluputkan setiap dosa yang dirasakannya terhadap Dina Azura.

Sepuluh tahun kemudian, Diaz pulang ke tanahair dan bekerja dengan Alma Katherine, seorang ahli perniagaan berjaya. Namun dia tidak berani berhadapan dengan Dina Azura angkara malam jahanam itu. Tapi takdir menemukan mereka semula untuk menyusun kepingan-kepingan puzzle dalam hidup mereka. Tapi masihkah ada benci di hatinya atau segala-galanya telah berubah?

Bagi Dina Azura, dia tidak pernah membenci Diaz. Malah takkan mungkin membenci lelaki itu. Sejak kecil dia mengagumi Diaz, sehinga adakala dia terseksa kerana dibenci tanpa sebab. Malah seluruh jiwanya terseksa kerana selama ini dia menyimpan rahsia yang tidak mampu diceritakan kepada sesiapa. Isi hatinya takkan mampu diluahkan lantaran dia sedar betapa besar dosanya mencintai abang sendiri.

Perkenalan Dina Azura dengan Johan telah menyemat cemburu di hati Diaz tanpa disedari. Hubungannya dengan Dina Azura adalah sebuah hubungan yang takkan mungkin. Mereka tidak mungkin bercinta. Tidak mungkin bersama sama. Tidak mungkin untuk segala-galanya. Tidak mungkin untuk selama-lamanya. Kerana itu Diaz menahan diri. Dan bila Johan hadir di antara mereka, segala-galanya yang tidak mungkin itu bukan lagi satu halangan. Diaz nekad mahu membetulkan segala-galanya. Tapi rahsia yang disimpannya selama 15 tahun itu hanya akan melukakan hati ramai orang. Bolehlah dia menjaga hati ramai orang dan membiarkan hatinya sendiri dilukai? Mampukah lagi dia menyimpan rahsia ini dari pengetahuan Dina Azura sedangkan gadis itulah yang paling mahu dilindunginya?


Abang jangan judge orang dengan hanya memandang luaran sahaja. Sekurang-kurangnya
Johan sanggup pertahankan maruah adiknya dari lelaki-lelaki tak guna tu. Dia seorang abang yang baik – DINA AZURA

Johan baik? Jadi abang lelaki jahat? – DIAZ HAFIZI

Saya cuma nak awak pilih antara saya dan Diaz. Dan berhenti menyakiti hati saya seperti ini Dina – JOHAN


Thursday, November 28, 2013

Dia..Beautiful Lie : Bab 5


SUDAH satu jam lamanya dia menanti di Old Town White Coffee. Namun orang yang dinanti tak juga kunjung tiba. Elina menarik nafas panjang.  Berkali-kali dia melirik ke arah jam tangannya. Berkali-kali juga dia melemparkan pandangan ke arah pintu masuk restoran itu, mengharapkan pengunjung yang masuk ke situ seterusnya ialah Adham Mirza. Tapi lain yang diharapkan lain pula yang muncul.

            Kopi White Hazelnut yang dihirupnya sudah kian habis. Hatinya menggerutu dalam kekecewaan. Dia sudah sepatutnya tahu yang Mirza tidak pernah serius dengan kata-katanya. Jadi tak mungkin lelaki itu akan ingat dengan janji mereka untuk bertemu malam ini. Bukankah lelaki itu tidak pernah mempedulikan sesiapa selama ini? Lalu apa yang kau harapkan Elin? Mirza takkan sesekali jatuh cinta pada gadis seperti kau.

            Elina meramas gelas White Hazelnutnya sekuat hati. Kelopak matanya terpejam rapat. Hatinya keluh kesah.

            “Ops, maaf.” Suara itu muncul mendadak di fikiran.

            Dia terpanar melihat pakaiannya yang habis lencun dibasahi air oren yang dipegangnya. Hampir hendak menangis di melihat gaun yang dibeli ayahnya rosak begitu sahaja.

            “Maaf, saya betul-betul minta maaf. Tak sengaja.”

            Perlahan-lahan dia mendongak, lalu terpandang seraut wajah kacak yang cuba membersihkan hujung kaki gaunnya yang sudah bertukar warna. Melihat lelaki itu dia terkesima. Alam ini bagaikan pegun. Jarum jam bagaikan berhenti berputar. Itulah perasaan yang dirasainya tatkala dia bertemu Adham Mirza buat kali pertama di rumah Tuan Fahrin sewaktu majlis meraikan anak sulung Tuan Fahrin yang akan ke luar negara menyambung pelajaran.

            “Saya Adham Mirza.” Lelaki itu menghulurkan tangannya.

            “Err..Elin..Elina Rushdan.” Dia tergagap-gagap menyebut namanya.

            “Awak kawan Drew?”

            Dia menggeleng. Malah tidak kenal nama yang disebut lelaki itu. Siapa Drew?

            Kerutan di dahi lelaki itu melebar.

            “Habis tu?”

            Belum sempat dia mahu menjawab, namanya diseru. Dia terkedu melihat ayahnya sedang menjeling tajam ke arahnya. Mahu tak mahu dia segera beredar menuju ke arah lelaki itu.

            “Berapa kali ayah nak pesan pada Elin, jangan bergaul sebarangan dengan budak lelaki dalam majlis ni terutama dengan budak Mirza tu. Dia anak Tuan Fahrin.” Suara ayahnya separuh berbisik. Perlahan tetapi beramaran.

            “Anak Tuan Fahrin?” Wajahnya berubah. Serentak bebola matanya mencari-cari kelibat anak muda itu.

            “Tapi kenapa ayah?” dia tercengang-cengang. Apa yang tidak kena dengan Adham Mirza? Bukankah ayahnya sendiri yang bilang, lelaki itu anak Tuan Fahrin, majikan ayahnya merangkap hos majlis ini?

            “Ayah tak suka kamu berkawan dengan dia.”

            “Tapi kenapa?”

            Mata Encik Rushdan membuntang tajam ke arah anak gadisnya.

            “Dengar sahaja cakap ayah dan jangan membantah. Ayah dengar budak tu kaki clubbing. Macam-macam hal tak baik ayah dengar. Jadi ayah tak nak Elin cuba rapat dengan dia. Mengerti?”

            Dia menarik nafas panjang. Mana ayahnya dengar semua gosip-gosip itu? Takkanlah! Hati kecilnya menolak sangkaan buruk itu. Dia menoleh ke arah lelaki itu yang sedang berbual-bual dengan beberapa orang gadis di suatu sudut. Memang kalau dilihat dari jauh, tidak ada sesiapa yang menyangka lelaki itu masih bersekolah menengah. Mungkin kerana faktor tubuh Adham Mirza yang tinggi lampai dan tampan, membuatkan lelaki itu kelihatan seperti berusia 20an.

            Dia menelan liur sewaktu melihat tangan anak muda itu menjalar ke pinggang salah seorang dari gadis-gadis yang bercakap dengannya. Entah mengapa hatinya cemburu bukan kepalang. Alangkah baiknya kalau dia dapat bertemankan lelaki seperti Mirza.  Mempunyai aura dan karisma memikat.

            Mulai saat itu dia sudah mabuk kepayang dengan lelaki itu. Malah boleh dikatakan obses kerana dia mengambil tahu semua hal mengenai Adham Mirza. Dari sekecil-kecil info sehinggalah ke sebesar-besal hal yang melibatkan lelaki itu. Sehinggakan sampai ke satu peringkat, dia merayu ayahnya untuk bertukar sekolah. Sekolah yang sama yang Adham Mirza hadiri. Semua yang dilakukannya kerana dia mahu dekat dengan lelaki itu. Tapi Adham Mirza seperti langsung tidak mengingatinya. Malah ketika mereka terserempak di sekolah, menonong sahaja lelaki itu pergi tanpa mempedulikannya.

            Elina membuka matanya. Keluhannya meniti di bibir. Sepertimana dia gagal menarik perhatian Adham Mirza tempohari, sekarang juga keadaannya tidak jauh berbeza. Lelaki itu hanya berniat mempermain-mainkannya sewaktu memintanya datang ke situ. Dan dia yang bodoh ini hanya menurut dan mempercayai lelaki itu.

*  *  *  *

MATANYA ralit menjamah rumah di hadapannya. Sudah hampir satu jam lamanya dia menanti di luar. Sesekali muncul bunyi ketawa dan hilaian dari dalam rumah itu. Rumah teres itu kecil sahaja. Rumah kos rendah yang sudah buruk sana sini, tapi anehnya, bunyi ketawa dari penghuni rumah itu kelihatan bahagia benar, malah lebih bahagia darinya yang selama ini hidup dalam rumah besar yang mewah.

            Hati Mirza diulit sayu. Dia merenung kotak kecil di tangannya yang sudah siap berbungkus cantik. Bersusah-payah dia mencari hadiah itu, tapi kini dia terasa mahu beredar sahaja. Entah kenapa dia tidak sanggup mahu berhadapan dengan wanita itu lagi. Ketawa isi rumah di hadapannya itu seperti merobek-robek hatinya.

            Drew, aku ada kat depan rumah mama sekarang.

            Kenapa kau pergi sana? Kau kan tahu papa tak suka.

            Aku cuma nak tengok dia.

            Dia dah bahagia dengan suami dan anak-anak dia. Dia takkan ingat kita lagi.

            Kau tahu kan hari ni harijadi dia?

            Ya aku tahu.

            Should I  wish her?

            Jangan cari fasal Mirza. Balik rumah sekarang.

            Mirza menarik nafas panjang. Baik ayahnya mahu pun Drew takkan mengerti apa yang dirasainya. Kerinduan yang selama ini menghuni pelusuk hatinya.

            Ketika wanita itu meninggalkannya, usianya baru 8 tahun dan Drew pula 10 tahun. Dia tidak tahu apa puncanya kenapa ibunya mahu meninggalkan mereka semua. Selama ini tidak pernah melihat adanya pergaduhan antara wanita itu dengan ayahnya. Selama ini ibunya sering tersenyum. Malah sentiasa ketawa ketika mereka bersama. Kerana itu dia langsung tidak mengerti kenapa wanita yang sering memeluk dan menidurkannya akan bertindak seperti ini.

            Tidak lama selepas ibunya bercerai dengan ayahnya, wanita itu berkahwin dengan duda beranak tiga. Lelaki itu bukan lelaki kaya seperti ayahnya, tapi hanya seorang mekanik yang mempunyai sebuah bengkel kecil. Dia langsung tidak mampu mempercayai ibunya meninggalkan kehidupan mewah semata-mata untuk hidup bersama seorang lelaki miskin yang tak punya apa-apa. Dia memang tidak faham langsung dengan tindakan ibunya.

            “Mirza?” Muncul suatu suara dari arah belakangnya.

            Dia tergaman. Salahnya! Dia sepatutnya pergi sahaja dan tidak menunggu lebih lama di situ.

            “Mirza kan?” Suara itu muncul lagi.

            Hatinya seperti dilapah-lapah mendengar panggilan wanita itu. Bibirnya diketap rapat. Mahu tak mahu dia terpaksa berpaling.

            Wajah itu kelihatan gembira melihatnya. Tanpa sebarang amaran, wanita itu meluru lalu memeluknya sekuat hati.

            “Masya ALLAH, anak mama rupanya. Mirza apa khabar? Drew macamana?” Suara ibunya muncul bertalu-talu. Dia hanya membisu seribu bahasa. Tidak tahu apakah yang harus diungkapkannya.

            Sebaik rangkulan ibunya terlerai, matanya memandang wajah manis di hadapannya. Baju kurung ibunya kelihatan lusuh benar, berbeza sekali dengan imej ibunya sepuluh tahun yang lalu. Ketika itu ibunya nampak elegan dengan pakaian-pakaian mahal dan barang-barang kemas yang menutupi tubuh  wanita itu. Tapi kini, ibunya seperti surirumah yang bekerja di dapur sepanjang hari. Yang tidak berubah hanyalah wajah manis yang tetap ceria memandangnya. Dia memang tidak pernah mampu membenci wanita itu.

            “Mari kita masuk dalam sayang.” Pelawa ibunya.

            Dia cepat-cepat menggelengkan kepalanya.

            “Err..tak boleh mama. Mirza tak boleh lama kat sini. Mirza datang cuma nak serahkan ini.” Ujarnya lalu menghulurkan kotak yang dipegangnya sebentar tadi.

            Ilya memandang kotak kecil yang sudah berganti tangan. Sejurus dia mengalihkan pandangan ke arah Mirza. Redup sepasang matanya kini mendarat ke wajah si anak yang sudah lama tak ditemuinya. Mirza semakin segak, tak ubah seperti penampilan bekas suaminya Fahrin yang sentiasa bergaya.

            “Apa yang Mirza kasi pada mama ni?” Tanya Ilya tersenyum.

            “Selamat hari jadi mama.” Bisik Mirza serba-salah.

            Ilya terdiam. Apakah Mirza datang sekadar untuk menyambut harijadinya?

            “Terima kasih. Mama tak tahu yang Mirza masih ingat harijadi mama. Betul Mirza tak nak masuk? Mirza tak nak jumpa abah dan adik-adik dulu?” Tanya Ilya.

            Mirza tersenyum sinis. Abah? Adik-adik? Hendak tergelak rasanya dia mendengar wanita itu bertanya begitu. Sejak bila pula dia berbaik-baik dengan lelaki yang telah merampas ibunya jauh dari sisinya?

            “Kat dalam ada makanan. Abah belikan kek harijadi untuk mama. Tadi mama sempat masak nasi ayam. Mirza kan suka makan nasi ayam masakan mama.” Ilya cuba memujuk.

            “Mama benar-benar bahagia ke?” Soalnya tanpa mempedulikan pelawaan wanita itu. Hatinya tiba-tiba jengkel dengan kata-kata ibunya.

            Ilya terdiam. Dia tahu Mirza masih belum mampu menerima perkahwinannya dengan Muiz, lelaki biasa-biasa yang membuka bengkel kecil-kecilan berdekatan rumah mereka.

            “Ya Mirza, mama bahagia.” Ujar Ilya tenang.

            “Lebih bahagia dari masa mama tinggal dengan kami?”

            Ilya menggeleng.

            “Bukan itu maksud mama sayang. Dulu mama juga bahagia sebab ada Mirza dan abang Drew kamu. Mama sayangkan kamu berdua. Tapi mama dah tak mampu hidup dengan papa kamu.”

            “Apa yang dia ada yang papa tak ada? Apa yang hebat sangat dengan rumah buruk ni berbanding dengan rumah besar yang mama tinggalkan tu?” Suaranya meninggi tanpa disedari.

            “Mirza tak faham.”

            “Ya, memang Mirza tak faham. Mirza tak faham kenapa mama pilih hidup miskin dengan duda anak tiga berbanding tinggal dengan anak-anak kandung mama sendiri. Kenapa mereka lebih penting sedangkan Mirza tidak? How could you.” Getus Mirza berang. Dia sudah tidak mampu berada di situ lebih lama lagi. Kakinya terus dihela ke arah motorsikalnya yang terparkir di bawah pohon rendang di seberang jalan.

            Ilya hanya mampu memerhatikan anak muda itu berlalu dengan wajah sedih. Dia memahami hati Mirza sedang terluka. Melihat motorsikal yang Mirza tunggangi menderum laju meninggalkan perkarangan rumahnya, airmatanya gagal ditahan lalu menitis jua di cerun pipi.

            “Sayang?” Suatu suara muncul di belakangnya.

            Ilya cepat-cepat mengesat airmata di pipi. Entah sejak bila, suaminya Muiz sudah ada di sampingnya. Anak mata lelaki itu sedang mengekori motorsikal yang semakin hilang kelibatnya.

            “Mirza?” Tanya Muiz.

            Ilya hanya mengangguk.

            “Kenapa tak diajak masuk?”

            Ilya hanya tersenyum. Tak mungkin Mirza sudi menjejak kaki ke rumah mereka.

            “Dia singgah sekejap aje. Dia bagi saya hadiah ni.” Ujar Ilya.

            “Hadiah? Hadiah apa?” Muiz memandang kotak hadiah di tangan Ilya.

            Ilya tidak menjawab. Dia segera merungkai pembalut hadiah lalu membuka kotak tersebut. Isinya dijengah. Melihat apa yang Mirza berikan, wajah Ilya berubah.

            “Amboi cantiknya kulit siput  ni. Anak awak tu memang pandai pilih hadiah. Awak kan suka kumpul kulit siput macam ni.” Muiz tersenyum. Kulit siput di tangan Ilya yang bertampal-tampal dengan cengkerang berwarna warni dibelek-beleknya. Kagum melihat kehalusan buatan tangan pembuatnya.

            Tapi melihat Ilya diam sahaja, Muiz mengerutkan dahinya. Wajah isterinya kelihatan keruh semacam. Dia tercengang-cengang. Kenapa dengan Ilya? Tidakkah wanita itu suka dengan hadiah pemberian Mirza itu?

 

2 comments:

Anonymous said...

Dah x ada smbungan ke ? :(

si unguhitam said...

Assalam, kak. Takde sambungan utk cerita Dia... Beautiful Lie ke?

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!