DIA berpeluk tubuh.
Jalannya mundar-mandir serba tidak kena. Kegelisahan hatinya sudah tidak
tertanggung menerima kunjungan dari Yasmin siang tadi. Seringkali dia merasa
tidak berupaya menanggung rasa sengsara ini kerana wanita itu.
Apa yang Yasmin perkatakan siang
tadi benar-benar menganggu dirinya. Hakikat yang diperkatakan wanita itu adalah
benar. Sekalipun dia cuba menyembunyikan diri, tapi kenyataan bahawa hidupnya nyaris-nyaris
musnah dahulu adalah benar. Dia dijual oleh ayahnya sendiri ke kancah
pelacuran. Tapi ibunya merayu Yasmin menyelamatkannya. Bertahun lamanya mereka
melarikan diri dari ayahnya sendiri. Dia dan ibunya sudah tidak sanggup menjadi
karung tinju buat lelaki itu melepaskan
perasaan setiap kali kalah judi. Mujurlah Anas tinggal di asrama. Jika tidak,
Anas akan turut sama merasakan tempias kemarahan lelaki itu.
“Esok ikut aku..” Lelaki itu
memandangnya.
Dia berpaling. Merenung wajah si
ayah yang kelihatan serius.
“Ke mana ayah?”
“Jangan banyak soal, ikut sahaja.”
Getus lelaki itu.
“Abang nak bawa Rian ke mana?”Ibunya
pula bertanya ingin tahu.
Lelaki itu memandang ibunya dengan
wajah menyinga. “Ini bukan urusan kau Miah. Aku ada hal dengan Rian di bandar.”
Ujar ayahnya.
“Hal Rian urusan Miah juga bang.
Rian anak Miah. Abang jangan nak buat benda yang bukan-bukan dengan Rian. Ingat
sikit dia anak kita.” Ibunya berkata sayu.
Kata-kata ibunya membuatkan wajah
itu semakin berang. Perlahan-lahan lelaki itu menghampiri ibunya sebelum memaut
tengkuk ibunya. Rambut wanita itu direnggut kasar. Ibunya menjerit kesakitan.
Dia sendiri terkejut melihat tindakan kasar ayahnya terhadap ibunya.
“Kau memang sengaja nak cari fasal
dengan aku kan Miah.Aku cuma nak carikan dia kerja kat bandar tu supaya dia
boleh bantu perbelanjaan keluarga kita. Nak harapkan kau? Kau dah tua, tak
larat lagi nak bekerja.” Getus lelaki itu.
“Miah tahu abang nak suruh Rian buat
kerja yang bukan-bukan. Dia anak kita bang, tolonglah kasihankan dia sedikit.”
Rayu ibunya dengan airmata bercucuran. Sedih sekaligus kesakitan diperlakukan
begitu.
Pang! Tapak tangan ayahnya sudah
mendarat ke pipi wanita itu. Ibunya tersembam ke arah lantai. Dia menjerit
nyaring lalu menerkam ke arah ibunya. Walaupun bukan dia yang dilempang, tapi
hangat pijar dari telapak tangan itu sampai ke pipinya. Dia seolah dapat
merasakan kesakitan yang sedang ditanggung ibunya.
“Ayah, tolong jangan. Jangan pukul
mak lagi. Rian akan buat apa sahaja, tapi jangan pukul mak lagi.” Dia menangis
merayu agar lelaki itu tidak mengapa-apakan ibunya.
“Rian!” Suara ibunya berbisik lirih.
Mereka sama-sama menangis sambil berpelukan. Dan itu bukan kali pertama ibunya
dipukul dengan teruk. Jika dia juga salah cakap atau mempertahankan ibunya,
tali pinggang ayahnya juga akan sampai ke tubuhnya. Hidup mereka terseksa
seperti di lubang neraka. Deraan demi deraan semakin menjadi kebiasaan lelaki
itu.
Kerana tidak mahu ibunya terus
dipukul, dia setuju bekerja di kelab malam. Pada mulanya sebagai pelayan tetapi
ada beberapa pelanggan di kelab malam itu tertarik kepadanya, maka dia diminta
menjadi GRO dengan bayaran lumayan. Tapi dia enggan melakukannya. Berita
keengganannya sampai ke pengetahuan ayahnya.
“Kau gila ke apa? Mereka sanggup
bayar berapa sahaja yang kau minta kalau kau sanggup temani mereka.” Getus
ayahnya dengan mata sengaja dibeliakkan besar-besar.
“Rian tak nak jadi GRO ayah.” Dia
menangis dalam kesedihan.
“Tak nak jadi GRO? Apa yang hinanya
dengan kerja GRO tu? Kau kena ingat sikit mak kau dulu pun GRO.” Ujar lelaki
itu sambil tergelak kecil.
“Rian tak nak jadi macam mak. Rian
akan belajar rajin-rajin supaya Rian boleh masuk universiti. Lepas tu Rian akan
cari kerja dan tanggung hidup kita. Rian akan lakukan semua ini ayah. Jadi
tolong jangan paksa Rian lagi.”
“Kau nak masuk universiti? Anak GRO
nak masuk universiti?” Ketawa lelaki itu sinis menyumbat gegendang telinganya.
Dia hanya tunduk dengan airmata bercucuran di pipi. Sesiapun takkan mengerti
impiannya! Dia sudah lama mengimpikan sebuah kehidupan yang sempurna, hidup
yang tidak perlu risaukan hutang atau belanja dapur. Hidup yang bebas seperti
burung camar di tepian pantai. Dia mahu hidup senang seperti sesetengah kawan-kawan
sekolahnya. Tapi bukan dengan cara menjual diri! Bukan dengan cara menggadai
kehormatan dirinya!
“Kau dengar sini baik-baik Rian. Kau
tu cuma anak pelacur. Orang macam kau takkan ada masa depan kecuali ikut jejak
langkah mak kau. Untung-untung ada orang kaya yang berminat dengan kau, kau
boleh hidup senang lepas tu.” Pujuk ayahnya lagi.
“Rian tak mahu ayah. Kalau ayah nak
bunuh Rian pun bunuhlah, tapi Rian tak mahu jadi pelacur.” Jeritnya nyaring.
Seperti yang diduga dengan ayahnya
tidak ada istilah penolakan. Malam itu dia dipukul setengah mati oleh lelaki
itu. Ibunya cuba menghalang, tapi turut menerima nasib yang sama.
“Anak tak mengenang budi. Kau
berdegil juga ya, nak rasakan ini!” Tali pinggang ayahnya bertubi-tubi singgah
ke tubuhnya. Tak cukup dengan itu, lelaki itu menyepak tubuhnya tanpa belas
kasihan. Hasilnya matanya lebam teruk malam itu. Seluruh tubuhnya berselirat
dengan kesan-kesan tali pinggang yang ada di antaranya mengalirkan darah.
“Maafkan mak Rian. Mak tak mampu nak
lindungi Rian.” Suara ibunya kedengaran sedih ketika menyapu ubat ke tubuhnya.
Dia mendesis kesakitan, cuba menahan rasa perit yang menyekasakan.
“Bukan salah mak.” Dia menggelengkan
kepala.
“Semua ini salah mak Rian. Mak tak
patut melahirkan anak-anak yang baik macam Rian dan Anas. Mak tak patut jadi
seorang ibu.” Bisik wanita itu.
“Mak!” Dia segera memeluk ibunya.
Airmatanya gugur jua di cerun pipi. Hatinya entah kenapa tercalar mendengar
kata-kata wanita itu.
“Mak tahu selama ini Rian malu
dengan mak, malu dengan ayah. Kami berdua tak layak jadi ibu bapa kepada anak
sebaik Rian. Maafkan mak Rian.” Bisik wanita itu lagi lemah.
“Mak jangan cakap macam tu. Rian tak
pernah malu dengan mak. Sekalipun Rian boleh pilih siapa mak Rian, Rian akan
tetap pilih mak. Percayalah.” Ujarnya sebak.
“Suatu hari nanti, Rian janji dengan
mak yang kita akan ubah nasib keluarga kita. Kita akan tinggalkan hidup seperti
ini mak. Rian akan belajar bersungguh-sungguh dan jadi anak yang boleh mak
banggakan. Rian janji mak.” Ujarnya seraya mengucup dahi ibunya. Wanita itu
membalas dengan memeluknya sekuat hati. Dan malam itu mereka tidur sambil
berpelukan sehingga ke pagi.
“Kenapa muka kau ni lebam-lebam
Rian?” Soalan itu terpacul dari bibir wanita yang menjadi Madam di kelab malam itu.
“Maaf Madam, saya..saya terjatuh.”
Ujarnya tergagap-gagap.
Madam merenung wajahnya agak lama.
Dia tahu wanita itu takkan mempercayai kata-katanya. Jatuh sampai lebam mata?
Budak kecil pun takkan percaya alasannya itu.
“Bapak kau pukul kau lagi? Hmm..apalah
nak jadi dengan Dollah ni. Kalau muka lebam macam ni, siapa yang nak kau layan
mereka lagi? Sudahlah tu, pergi hantar minuman kat bilik VIP kita.” Suruh Madam
dengan suara tegas.
Dia mengangguk. Dulang berisi
minuman keras itu dibawa ke sebuah bilik VIP. Daun pintu diketuk. Seorang lelaki muda membukakan pintu untuknya.
Orangnya boleh tahan kacak. Dia tunduk sedikit lalu membawa minuman itu ke arah
meja.
“Kau pelayan baru ya? Tak pernah
nampak pun selama ini.” Lelaki muda itu bertanya.
Dia hanya mengangguk.
“Hmm..kenapa dengan muka tu? Kena
pukul?” Pertanyaan itu singgah diikuti bunyi derai ketawa.
Dia agak kurang senang mendengar
pertanyaan itu. Kebanyakan mereka masih muda berusia dalam lingkungan awal
20an. Ada 5 lelaki di dalam bilik itu
dengan beberapa orang gadis GRO. Dia memberanikan diri memandang mereka dan
hampir mengucap panjang apabila mendapati ada di antaranya sedang berkelakuan
tidak sopan. Tanpa segan silu mengucup dan meraba-raba gadis itu. Dia
mengalihkan pandangan, tidak sanggup melihat pemandangan seperti itu.
“Kenapa sayang? Malu ke? Jangan nak
berpura-puralah. Kau kerja kat sini, tentu kau pernah tengok lebih dari ini
kan?” Lelaki itu bersuara sambil ketawa besar.
Dia cepat-cepat menghidangkan
minuman lalu berpaling mahu beredar dari situ. Tapi lelaki itu tiba-tiba
menarik tangannya menyebabkan dia tersembam ke arah sofa di situ. Dia mahu
bangun tapi tangan lelaki itu sudah menekan tubuhnya.
“Jangan, tolong jangan. Saya cuma
pelayan kat sini, bukan GRO.” Ujarnya perlahan. Perasaan takut mula menguasai
dirinya.
“Pelayan ke GRO ke, semuanya sama
sahaja. Kau memilih kerja kat sini tentu kau tahu apa yang patut di buat kan?”
Tak semena-mena tangan lelaki itu sudah menular ke arah dadanya. Butang bajunya
dibuka satu persatu. Dia berusaha keras menepis tangan lelaki itu.
“Encik, saya dah kata saya bukan
GRO.”
“Tapi aku dah berkenan tengok kau.
Malam ni kau layan aku dan aku akan beri duit yang banyak untuk kau.” Bisik
lelaki itu ke telinganya.
Dia memejamkan matanya. Terbayang-bayang
wajah ibunya dan Anas. Dia takut, tapi ketakutan itu memberi kekuatan. Dia
berfikir bagaimana mahu melepaskan diri dari lelaki yang kelihatan sudah
dikuasai air syaitan itu. Dengan sepenuh tenaga, kakinya segera menendang
pangkal kaki lelaki itu.
Si lelaki mengaduh kesakitan sambil
menjepitkan kedua belah kakinya. Peluang yang ada digunakan untuk melarikan
diri dari bilik itu. Dia dapat mendengar suara berteriak dan cercaan datangnya
dari bilik itu, namun dia sudah tidak peduli. Langkah kakinya dihela pantas ke
suatu arah. Dia hanya terfikir mahu pergi sahaja dari tempat itu sebelum Madam
juga memarahinya kerana bertindak seperti itu pada pelanggan. Mereka yang
bekerja di situ memang sering diberitahu agar melayan klien di situ seperti
raja. Apa sahaja keinginan klien harus dipenuhi. Itu pesan Madam. Tapi itu
tidak bermakna pesanan itu harus dituruti. Dia bukan bodoh! Dia tidak mahu
terjebak lebih jauh lagi,
Tiba-tiba kakinya tersalah langkah.
Dia terjelepuk jatuh mencium lantai. Dia mahu bangkit tapi kesakitan di buku
lalinya menyengat. Kakinya sudah terkehel.
Sepasang tangan tiba-tiba memaut
tubuhnya. Dia mengangkat wajahnya dan terkejut melihat seorang wanita di
hadapannya. Wajah wanita itu cantik, pakaiannya juga anggun sekali. Senyuman
wanita itu menular di bibirnya. Manis dan ramah kelihatan.
“Boleh bangun?” Tanya wanita itu
lembut.
Dia mengangguk. Berdikit-dikit dia
bangun sambil menahan sakit di kaki.
“Perempuan bedebah! Berani kau ya.”
Sepasang tangan kekar tiba-tiba mencengkam rambutnya sekuat hati. Dia terkejut
lalu menjerit kesakitan. Apabila dia berpaling, dia melihat lelaki-lelaki di
bilik VIP tadi sudah berada di situ. Dan lelaki yang paling berang itu ialah
lelaki yang mendapat hadiah istimewa darinya sebentar tadi.
“Amir! Lepaskan dia. Berapa kali aku
nak pesan dengan kau supaya hormat sikit dengan kaum wanita. Kau semakin
melampau sekarang.” Suara itu meletus dari bibir merah yang ditemuinya sebentar
tadi.
Lelaki yang dipanggil Amir itu
menoleh ke arah wanita cantik itu. Melihat renungan tajam wanita itu singgah ke
wajahnya, Amir segera melepaskan tangannya.
“Kak Yasmin.” Nama itu terpacul dari
bibir lelaki itu. Wajah itu turut bertukar resah.
Diam-diam dia memerhatikan wanita
yang dipanggil Yasmin itu. Hatinya tertanya-tanya. Siapa wanita itu sebenarnya?
Hanya calang-calang orang sahaja yang mampu memberi arahan pada seorang lelaki
dan lelaki itu akur tanpa banyak soal.
“Kau nak aku cakap dengan bos kau
yang kau buat kecoh kat sini?”
“Err…jangan Kak Yas. Tolong jangan.”
“Aku nak kau dan kawan-kawan kau
berambus dari sini dan jangan kacau perempuan ni lagi. Dia ni adik aku.
Mengerti?”
Amir terperanjat. Bahkan bukan
sahaja lelaki itu, dia turut terkedu melihat wanita itu mengakunya sebagai
adik. Tapi gertakan wanita itu sekurang-kurangnya berjaya membuatkan lelaki itu
menggeletar. Tanpa banyak soal, lelaki itu dan kawan-kawannya segera beredar
dari situ.
“Nama kakak Yasmin. Panggil Kak Yas
pun tak apa.” Ujar wanita itu mempekenalkan diri sebaik kelibat Amir dan
kawan-kawannya sudah menghilang.
“Nama kau siapa?”
“Err…Adriana.” Jawabnya
tergagap-gagap.
“Adriana? Hmm..cantik nama tu. Adriana
kerja di sini?” Mata wanita itu asyik memandangnya dari atas ke bawah.
Dia hanya mengangguk.
“Rian? Kenapa kau kat sini lagi?
Pergi buat kerja sekarang.” Madam tiba-tiba muncul.
Dia terkedu. Hatinya risau
kalau-kalau wanita itu naik marah dengan apa yang telah berlaku di bilik VIP
tadi.
“Budak ni kacau kau ke Yas? Maaflah,
dia budak baru. Anak Dollah dengan Salmiah.” Madam tersenyum memandang wanita
anggun itu.
“Anak Kak Miah?” Yasmin segera
melontarkan pandangan ke arahnya. Seakan-akan terkejut mendengar kata-kata
Madam tadi.
“Tak mengapa Ning, dia tak
menganggu.In fact aku suka dia.
Sangat suka.” Senyuman itu muncul lagi di bibir wanita itu. Mata wanita itu tak
berganjak langsung dari wajahnya.
“Kak Rian?”
Adriana tergaman. Hilang sudah
lamunannya sebentar tadi disapa suara Anas. Dia sendiri tidak menyedari bila
masanya Anas datang mendekatinya.
“Anas tak tidur lagi?” Tanya Adriana
tersenyum.
“Anas tak mengantuk.”
“Barang-barang dah kemas? Esok nak
balik asrama kan?”
Anas mengangguk. Wajah adiknya itu
muram sahaja.
“Esok kakak panggil teksi ke mari.
Maaflah kakak tak boleh hantar Anas balik asrama. Nanti bila kakak dah habis
belajar, dah kerja. Kakak beli kereta, boleh hantar Anas ke universiti pulak.”
Ujar Adriana tersenyum. Entah bilalah dia mampu mengumpul duit untuk membeli
sebuah kereta terpakai. Hendak mengumpul duit belanja makan, rawatan ibunya
serta belanja sekolah Anas pun sudah sukar, inikan pula hendak berangan membeli
kereta.
Anas terdiam mendengar kata-kata
Adriana. Dia memandang wajah kakaknya dalam-dalam. Ada sesuatu yang mahu
dibicarakan dengan gadis itu sebenarnya.
“Anas nak bincang sesuatu dengan
kakak.” Ujar Anas lambat-lambat.
“Nak bincang fasal apa?”
“Anas rasa, Anas nak balik sekolah
dekat-dekat sini sahaja. Anas nak tinggal dekat rumah.” Ujar Anas. Kepalanya
tunduk ke bawah, tidak berani bertentang mata dengan Adriana kerana dia tahu
Adriana pasti tidak bersetuju.
Adriana terpanar. Apa maksud adiknya
itu?
“Anas nak sekolah kat sini? Apa Anas
merepek ni? Bersusah payah Anas dapat bersekolah di Sekolah Berasrama Penuh tu.
Dan sekarang Anas kata Anas tak nak sekolah di situ lagi?”
“Kak,
Anas kasihankan kakak. Kakak kena kerja dan jaga mak pada masa yang sama. Anas
langsung tak membantu kakak. Kakak baharu sambung belajar di kolej tu, lepas tu
kakak kena kerja pula untuk tampung belanja kita dua beradik. Anas kasihan
tengok mak sorang-sorang di rumah kalau kakak tak ada.”Ujar Anas.
“Kan
ada orang yang tolong jaga mak. Anas nak risaukan apa?”
“Itulah
yang Anas maksudkan. Gaji kakak bukan tinggi sangat, tapi kakak terpaksa bayar
orang untuk jaga mak masa kakak tak ada. Kalau Anas ada, Anas boleh tengok-tengokkan mak. Kita
tak payah buang duit untuk upah orang jaga mak lagi.” Getus anak muda itu lagi.
Adriana
terdiam mendengar bicara Anas. Dalam usia 16 tahun, adiknya itu benar-benar
matang orangnya. Dia benar-benar berbangga dengan Anas.
“Anas
jangan risau, kakak mampu uruskan semua ini. Kakak cuma nak Anas belajar di
tempat yang baik, dapat masuk universiti dan lepas tu kita tinggalkan hidup
lama kita dan mulakan hidup baru. Itu janji kakak pada mak dulu.”
“Tapi
kak..”
“Jangan
nak bertapi-tapi lagi, kakak serius ni. Demi kakak dan demi mak, belajarlah
rajin-rajin sampai Anas jadi orang yang berguna.” Pujuk Adriana. Bahu anak muda
itu ditepuk-tepuk perlahan.
Anas
mengigit bibir. Dia sudah tidak mampu untuk memujuk kakaknya.
“Kalaulah
ayah ada…” seru Anas separuh mengeluh.
Adriana
berpaling. Dia dapat mendengar kata-kata adiknya itu. Entah mengapa mendengar
sahaja tentang ayahnya, darahnya menyerbu naik ke muka.
“Jangan
sebut fasal ayah lagi boleh tak? Dia dah lari tinggalkan kita. Kita tak
perlukan ayah macam tu.” Ujar Adriana keras.
“Anas
tetap nak cari ayah kak. Dia tak tahu langsung keadaan mak. Kalau ayah tahu,
dia akan bantu kita.” Ujar Anas.
Adriana
mengetap bibirnya. Wajahnya membahang.
“Anas,
kan kakak dah cakap banyak kali pada Anas. Jangan sebut fasal ayah lagi depan
kakak. Dia dah tak ada apa-apa hubungan dengan kita lagi. Faham tak?” Bentak
Adriana sudah mula gagal mengawal perasaan.
Wajah
Anas berubah. Dia tidak faham kenapa sampai begitu sekali kemarahan Adriana
terhadap ayah mereka. Sampai sekarang dia langsung tidak mengerti apa-apa pun.
Sebaik
Anas beredar ke dalam, Adriana menekup wajahnya. Fikirannya bercelaru. Jiwanya
keresahan. Dia tahu Anas sering tertanya-tanya ke mana ayahnya menghilang.
Kalaulah anak muda itu tahu apa sebenarnya yang berlaku dua tahun lalu. Lelaki
itu sudah meninggalkan mereka buat selama-lamanya tetapi dia tidak pernah
menyesal langsung dengan apa yang telah dilakukannya. Langsung tidak!
No comments:
Post a Comment