THE WORLD OF ANITA ARUSZI

Everyone has a dream..but my dream is to wanna make ur happy..

Followers

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

            Selepas sehari suntuk berada di homestay arwah ayahnya, barulah Idlan menelefon ibunya petang itu dan memberitahu di mana mereka berada. Seperti dijangkakan, ibunya Maria terkejut besar mendengar kata-katanya.
            “Kenapa tak balik ke rumah?’ Soal Maria seakan tidak bersetuju dengan tindakan Idlan kali ini.
            “Tak apalah mama, Id bawa Orked ke rumah lama kita dulu. Biarlah dia tenangkan fikirannya kat sini. Lagipun Mak Tun dan Pak Man kan ada kat sini. Mereka boleh tolong tengok-tengokkan Orked.” Ujar Idlan.
            “Id buat mama risau.” Keluh Maria.
            Idlan hanya tersenyum. “Id dah besar panjang mama. Id boleh jaga diri sendiri, mama janganlah risau. Cuma satu aje Id minta, mama tolonglah jelaskan pada Uncle Hamdan tentang tindakan Id ni.” Pinta Idlan. Dia memang risau dengan anggapan lelaki itu jika tahu ke mana dia membawa Orked pergi.
            “Insya allah sayang, nanti mama bagitahu dia. Tapi bila Id nak balik ke mari?” Soal Maria.
            “Tengoklah dalam dua tiga hari lagi.”
            “Balik cepat sikit Id, mama belum habis rindu nak tengok Id.” Sayu suara Maria berbisik. Idlan terdiam. Kata-kata ibunya membuatkan lidahnya kelu seribu bahasa. Apakah ini hanya mainan perasaannya? Tapi sejak dia balik dari London seminggu yang lalu, sikap ibunya benar-benar berbeza. Perhatian yang diberikan wanita itu juga kelihatan berlebihan terhadapnya.
            Ketika dia menamatkan perbualan, matanya tiba-tiba terpandang kelibat Orked sedang berdiri di penjuru sudut. Gadis itu pasti sedang memasang telinga mendengar perbualannya dengan ibunya sebentar tadi.
            Dia tersenyum memandang ke arah Orked yang sedang memerhatikannya.
            “Orked lapar? Nak makan?” Soalnya lembut.
            Orked menggeleng. Mata anak gadis itu terus meratah wajahnya tidak berkelip.
            “Kenapa Orked pandang abang macam tu? Abang handsome ke?” Seloroh Idlan seraya tersengih.
            “Kau telefon rumah ke tadi?” Soal Orked tanpa mempedulikan kata-kata Idlan yang berbaur lelucon
            Idlan hanya mengangguk. “Kita kena beritahu mereka. Walau macamana sekalipun, mereka tetap ibu bapa kita.” Sahut Idlan tenang.
            “Kau ingat mereka ambil peduli?” Herdik Orked dengan wajah merah padam. Hatinya geram mendengar kata-kata Idlan yang membocorkan rahsia mengenainya pada ayahnya.
            “Tak kisahlah mereka peduli atau tidak. Tapi abang peduli fasal Orked.” Wajah Idlan serius ketika menuturkan kata-katanya.
            Orked mengetap bibir. Wajah pemuda di hadapannya ditenung tajam. “Kau kena ingat sikit. Kau tu bukan abang aku! Jangan nak berlagak macam kau ni abang aku!” Teriak Orked, tiba-tiba naik berang.
            “Memang abang bukan abang kandung Orked. Tapi bila mak ayah kita kahwin, secara lahiriah Orked sudah jadi adik abang, tanggungjawab abang.” Balas Idlan.
            “Aku tak ingin jadi adik kau. Jadi jangan campur urusan aku lagi. Kalau tak, aku akan keluar dari rumah ni.” Ugut Orked.
            Idlan terdiam. Kata-kata gadis itu membuatkan dia mengeluh panjang.
            “Kenapa Orked tak mahu percaya pada abang? Abang benar-benar ambil berat fasal Orked.” Keluh Idlan.
            Orked mendengus kasar. Kata-kata Idlan malas mahu diambil peduli. Selama hidupnya dia tidak pernah dipedulikan ayahnya sendiri. Hari ini tiba-tiba sahaja seorang lelaki yang tidak pernah dikenali cuba mengambil hatinya. Untuk apa? Kenapa? Dia sudah muak mendengar kata-kata sebegitu. Hakikatnya selama hidupnya tidak pernah ada seorang pun yang mahu mengambil berat tentangnya.
            “Orked nak ke mana tu?” Idlan bertanya sebaik melihat gadis itu angkat kaki dari situ.
            Orked berpaling dengan wajah sinis. Aku nak keluar jalan-jalan kat sini. Kenapa? Tak boleh?”
            “Orked tak kenal jalan-jalan kat sini. Nanti sesat! Abang temankan ya?”
            “Tak payah susah-susah. Aku takkan ganggu kau dan tolong jangan ganggu aku, boleh tak?” Herdik Orked lalu melangkah keluar dari situ. Meninggalkan Idlan yang terpinga-pinga dengan wajah bingung.
*  *  *  *
DIA hanya mengikut arus kaki tanpa tahu ke mana hala tujuannya. Dia sebenarnya masih bingung dengan tempat ini. Kat mana sebenarnya aku ni? Dia hanya tahu dirinya kini sudah jauh meninggalkan Kuala Lumpur. Tempat yang sedang dikunjunginya sekarang tidak ubah seperti sebuah desa yang sepi dari hiruk-pikuk kota. Tapi dia benci dengan kesunyian yang dirasakannya. Dia benci dengan suasana di tempat itu yang seperti berkabung. Sepi ini membuatkan hatinya lebih pedih. Jiwanya lebih kusut.
            Meskipun ini yang dimahukannya, lari jauh dari kemelut duka yang dihadapi sepanjang pencariannya, anehnya kenapa dia tidak merasa gembira? Kenapa tidak sedikitpun hatinya merasa lapang berada di tempat ini? Mungkin tempat yang terlalu sunyi tidak sesuai untuknya. Tempat yang sunyi hanya membuatkan fikirannya menjadi kosong. Dan fikiran yang kosong hanya akan membuatkan ianya terisi dengan pelbagai kenangan yang menyakitkan. Dia lebih menyenangi suasana riuh rendah dan rancak. Kerana itu dia sering mengunjungi kelab malam bersama teman-temannya. Entah kenapa bunyi muzik yang rancak dan kuat lebih menyenangkan dari suasana yang sunyi sepi seperti ini!
            Lama berjalan, kakinya sampai di sebuah tasik yang cukup indah. Di tebing tasik, terdapat banyak pohon-pohon Zubaidah yang menjadi penyeri tebing. Dia duduk berlunjur kaki di situ. Ketenangan air tasik di hadapannya diraut dengan fikiran melayang. Sesekali dia menggerakkan kakinya dan memercikkan air tasik sehingga membentuk beberapa pusaran kecil. Sejuk! Hati kecilnya bertingkah. Mula menyenangi apa yang sedang dilakukannya.
            Entah kenapa tiba-tiba hatinya tergerak untuk mandi-manda di situ. Pandangannya dilontar di sekelilingnya. Setelah pasti tidak ada yang melihatnya di situ, Orked perlahan-lahan turun ke tepi tebing. Dia meranduk air ke tengah-tengah tasik, lalu menyelam buat beberapa saat. Ketika dia timbul semula, wajahnya terasa benar-benar segar. Kedinginan air tasik itu mampu menghalau hangat tubuhnya yang dirasakan berbahang.
            Dia berenang dengan senang hati. Aneh juga! Baru sebentar tadi dia menggumam suasana desa itu yang dirasakan membosankan. Kini dalam sekelip mata air tasik itu mampu membuahkan kegembiraannya.
            Ketika sekali lagi dia timbul di permukaan air, tiba-tiba telinga Orked mendengar bunyi teriakan, sayup-sayup kedengaran. Dia segera berpaling. Sejauh hampir 50 meter, dia terpandang sesusuk tubuh sedang tenggelam timbul tidak jauh dari tempat dia berada. Ada orang lemas! Hati kecil Orked berbisik.
            Tanpa memikirkan keselamatan dirinya, dia segera berenang ke arah lembaga yang terkapai-kapai itu. Tapi baru beberapa meter berenang, kakinya tiba-tiba kejang. Dia terkejut. Pergerakannya di dalam air sudah terumbang-ambing. Kegagalan menguak dengan kakinya menyebabkan tubuhnya sedikit demi sedikit gagal diapungkan. Dia cuba menggunakan kedua-dua tangannya. Tapi kedua-dua tangannya juga seperti lemah dan tidak mampu menolak arus air tasik itu. Akibatnya sedikit demi sedikit, dia mula tenggelam.
            Orked mahu menjerit. Tapi suaranya seolah-olah tersekat di kerongkong. Dia tidak mampu bersuara. Dadanya berdebar-debar. Matanya dipejamkan. Apakah aku akan mati? Dia semakin ketakutan. Melihat daratan yang hanya separas hidungnya, dia kian pasrah.
            “Kematian itu pasti akan berlaku Orked. Mati itu pasti!” Bisikan suatu suara menerpa ke telinganya. Dia terus memejamkan matanya. Tubuhnya terasa kaku tidak berupaya. Wajah uminya tiba-tiba muncul di fikiran. Wanita itu datang dengan senyuman seindah bidadari. Berpakaian putih yang mempunyai dua kepak di belakang. Ketika wanita itu menghulurkan kedua-dua tangannya, dia seperti terpukau.
            “Datang pada umi Orked. Umi akan selamatkan Orked.” Ujar wanita itu.
            Dia tersenyum. Tiba-tiba sahaja ketakutannya menghilang. Huluran tangan wanita itu disambut. Hatinya pasrah dan rela mahu mengikut wanita itu.

3 comments:

mana Idlan?cepatla slamatkan orked..ciannya. Hrp la x terjadi apa2 lps ni. Sapa yg lemas sebelum Orked kejang..x sabar nk tau. Suspense la Nita

arasnieryie@1995 said...

jgn2 si Idlan tu yg lemas,ahak ahak ahak!..

mungkin..atau buat2 lemas psl nak test orked! haha