THE WORLD OF ANITA ARUSZI

Everyone has a dream..but my dream is to wanna make ur happy..

Followers

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

            YUNA keluar dari bilik stor itu. Wajahnya semakin muram. Entah kenapa pertemuannya dengan Darius dan Adham menggamit perasaan yang saling berbaur dalam dirinya. Dia benar-benar membenci perasaan serba tidak kena yang sedang menyelubunginya saat itu. Selepas enam bulan, kenapa mesti dia dipertemukan semula dengan lelaki-lelaki itu? Kenapa?
            Jangan jadi bodoh Yuna! Kalau bukan kerana mereka, kau dan Nahar sudah lama mati di tangan groul. Suara hatinya tiba-tiba berbisik.
            Tapi aku tak nak jumpa mereka lagi!
            Ini bukannya sesuatu yang boleh kau tentukan. Soal groul, soal bumi..adalah soal yang lebih penting berbanding dendam peribadi kau terhadap Adham.
            Siapa kata aku berdendam dengan Adham?
            Jadi dia bukan masalah besar untuk kau kembali ke Artemis.
            Aku tak boleh.
            Kenapa?
            Sebab aku takut aku takkan dapat mengawal diri lagi. Ada sesuatu tentang Adham yang tak mampu aku terangkan, meskipun pada Guardian dan Darius sendiri.  Dia bukan seperti Darius. Mereka berbeza!
            Mereka memang berbeza Yuna!
            Tidak! Aku maksudkan mereka memang benar-benar berbeza. Dan bila aku mengatakan begitu, bermakna aku tidak bercakap tentang sikap atau sifat mereka. Setiap kali aku melihat Adham, aku melihat visi api dan percikan darah para-para pemburu di Artemis. Mayat-mayat bergelimpangan di sana sini serta kematian Darius. Semua fragmen-fragmen itulah yang membuatkan aku tidak dapat mengawal diri dan naik gila suatu ketika dahulu. Adham di dalam visiku bukan Adham yang seperti sekarang.
            Itu hanya visi Yuna. Ia belum berlaku! Bisik suara hatinya lagi.
            Harap-harap ia tidak akan berlaku. Jika tidak, Artemis akan menjadi sejarah, keluh Yuna. Dia menggeleng kepala. Resah! Ah lebih baik aku balik ke bilik saja. Fikir banyak pun tak guna juga, gumam Yuna serba tidak kena.
Ketika dia melintasi ruang tamu, matanya tiba-tiba terpandang cahaya terang dari arah dapur. Beberapa bunyi dari arah dapur yang singgah di pancainderanya membuatkan dia tergaman. Siapa? Ayahkah? Atau jangan-jangan mak! Dia memandang ke arah jam di dinding ruang tamu. Mata Yuna terbeliak. Alamak! Dah dekat pukul 4.30 pagi. Jangan-jangan ibunya sudah bangun untuk menyiapkan bekalan kuih seri muka yang mahu dihantar ke kafeteria seperti kelazimannya.
            Perlahan-lahan Yuna mengatur langkah ke arah dapur. Fikirannya berkocak resah. Dia benar-benar takut kehadiran lelaki-lelaki dari ‘luar’ sana bakal mengejutkan ibunya. Jangan mak sakit jantung sudahlah! Keluh Yuna sambil menarik nafas panjang berulang-kali sebelum dia menyerbu masuk.
            “Mak, Yuna….” Kata-kata Yuna terhenti secara drastik. Matanya melurus ke hadapan. Separuh terbeliak. Apabila lelaki itu menyeringai memandangnya, Yuna mengetap bibir seraya meluru ke arah Adham yang sedang menjamu selera dengan saki-baki nasi yang berada di bawah tudung saji.
            “Kau buat apa ni?” Suara Yuna separuh berbisik Bimbang ibu bapanya terjaga dan menyedari kehadiran Adham di situ.
            “Takkan kau tak boleh bezakan antara makan dan tidur.” Sahut Adham selamba.
            “Ya aku tahu kau tengah makan. Tapi kau sedar tak apa yang kau dah buat ni? Sekarang kau ada kat rumah aku.” Rungut Yuna benar-benar geram dengan tingkah laku lelaki itu.
Dengan sikap Adham yang tidak pernah mengikut peraturan, dia sendiri hairan bagaimana lelaki itu boleh menjadi salah seorang pemburu di Artemis. Tak banyak yang diketahuinya mengenai Adham.  Malah maklumat tentang lelaki itu dikatakan sulit dan hanya diketahui oleh beberapa orang Guardian dan The Majesty dalam organisasi Artemis. Dia juga tahu Adham berasal dari planet jajaran ke-3 yang dipanggil Epsilon 7. Selain dari itu, dia langsung tidak tahu apa-apa tentang lelaki itu. Adham seolah-olah lelaki misteri yang tidak mempunyai maklumat terperinci dan sandaran kepercayaan antara para pemburu. Berbeza dengan Darius yang diketahuinya berasal dari planet ke-6 digelar Sentinel.
            “Masakan mak kau ni sedap. Kau sepatutnya pelawa Darius sekali, lagipun dia belum makan apa-apa sejak kami kembali dari Continuum Sector.” Ujar Adham dengan muka selamba. Wajah merah padam Yuna hanya dibuat acuh tak acuh sahaja.
            “Adham, kejap lagi mak aku bangun dari tidur. Boleh tak kau hentikan semua ini dan keluar dari sini secepat mungkin? Aku dah malas nak gaduh dengan kaulah.” Rungut Yuna.
            “Aku pun tak mak gaduh dengan kau.” Renungan Adham menikam ke wajah Yuna. Yuna terkedu. Panahan mata lelaki itu entah kenapa menggusarkan dirinya.
“Aku nak masuk tidur. Lepas kau makan, pandai-pandailah kau hilangkan diri sebelum mak aku bangun.” Dia memusingkan tubuh, mahu cepat-cepat beredar dari situ. Tapi pegangan tangan Adham melekat kuat di lengannya. Dia terpanar!
            “Kau tak tidur. Kita takkan pernah dapat tidur.”
            Langkah Yuna terhenti. Dia berpaling lalu merenung Adham yang turut menatapnya tidak berkelip.
            “Aku tahu siapa aku. Tak perlu kau nak ingatkan aku tentang diri aku yang ‘freak’ ni. Kalaupun aku tak tidur, kenapa? Tak bolehkah aku berpura-pura normal sekurang-kurangnya di hadapan keluarga aku?” Dia memulangkan paku buah keras.
            Adham tersenyum simpul.  Lucu mendengar kata-kata Yuna. Belum pernah dia bertemu seorang pemburu yang berpura-pura seperti Yuna. Melihat gadis itu mahu beredar, Adham cepat-cepat bersuara semula.
“Oh ya,  mak ayah kau tak ada kat dalam rumah ni.” Ujar Adham.
Yuna tercengang. Tak ada?
Adham memuncungkan mulutnya ke arah peti ais. “Ada memo kat situ. Mereka tinggalkan untuk kau dan Nahar.” Sambungnya lagi.
Yuna cepat-cepat menuju ke arah peti ais. Matanya mengecil merenung sekeping kertas memo merah yang tertampal pada permukaan peti ais.
                                                                                                                     
Yuna,
Mak dan ayah kena pergi ke rumah Pak Ngah kamu. Kami dapat panggilan telefon, Mak Ngah kamu jatuh tangga tadi. Teruk juga keadaan dia. Kalau kami tak sempat balik, ini bermakna kami tidur kat Ayer Keroh malam ni. Makanan dah mak siapkan kat bawah tudung saji tu untuk Yuna dan Nahar. Pagi nanti mak telefon kamu.
Dari mak

            Seusai membaca memo tersebut, Yuna mengeluh panjang. Bersusah payah dia menyeludup lelaki-lelaki itu ke rumahnya dengan berhati-hati, tak disangkanya ibu dan ayahnya memang benar-benar tidak ada di rumah seperti yang Adham katakan.
            Dia memandang ke arah Adham. Lelaki itu tersenyum simpul seraya mengangkat bahunya. Yuna memalingkan wajah. Berang bercampul sebal.
            “Mak dan ayah kau nampaknya ibubapa yang baik.” Komen Adham.
            “Semua ibu bapa baik dan sayangkan anak-anak mereka.” Balas Yuna.
            “Mungkin sebilangan tapi bukan aku. Aku tak ada ibu bapa.”
            Yuna terdiam. Wajah redup Adham ditatap dalam-dalam. Baru dia perasan dia tidak pernah ambil tahu tentang lelaki itu selama ini. Siapa Adham dan siapa keluarga lelaki itu langsung tidak pernah diketahuinya. Benarkah Adham tidak ada ibu bapa? Entah kenapa Yuna diterpa perasaan ingin tahu tentang lelaki itu. Tapi untuk menyulam pertanyaan, itu sukar mahu dilakukannya. Maklumlah selama ini dia tidak penah bercakap baik-baik dengann Adham. Kebanyakan pertemuan mereka hanya akan berakhir dengan pertengkaran dan sindir-menyindir.
*  *  *  *
            Di dalam bilik, Yuna berjalan mundar-mandir. Ingatannya terperosok pada kata-kata Darius tentang groul. Makhluk menakutkan dengan menjadikan darah sebagai makanan itu sebenarnya berasal dari Groulier, salah satu sistem bintang yang terletak berhampiran dengan gugusan bintang yang dipanggil Six Foot. Jaraknya dengan bumi dan enam planet jajaran ialah 190 juta kelajuan cahaya.
Dengan teknologi Artemis dan sokongan dari The Majesty, Artemis pernah menghantar pemburu ke Groulier untuk merisik rancangan sekumpulan groul level A yang menyebarkan sejenis virus maut kepada manusia melalui gerbang masa yang dicipta oleh The Majesty terdahulu, dipanggil The Dark Seeker. Kini setiap dari tujuh planet jajaran memiliki gerbang tersebut, disorok dari mata umum di sebuah tempat yang tidak akan ditemui sesiapa pun kecuali para pemburu. Tapi sejak berpuluh tahun yang lalu, makhluk groul sudah mengetahui tentang kewujudan gerbang The Dark Seeker dan mereka menggunakan cara yang sama untuk merentasi beberapa planet jajaran dan menyebarkan virus tersebut.
“Manusia yang terkena virus ini akan bertukar sifat dan menjadi groul level E. Mereka bukan seperti groul yang digelar Royal yang boleh menyamar di kalangan manusia serta berhubungan dengan manusia secara normal. Level E lebih kepada para hamba dan orang suruhan bagi Royal. Tidak ada penawar bagi groul Level E. Mereka harus dibunuh sebelum mereka menjadikan manusia makanan mereka.” Syarahan Gabriel, salah seorang Guardian di Artemis menyulam ke dalam ingatannya.
“Kamu semua harus menghapuskan mereka tidak kira apa sahaja risikonya. Kita harus pertahankan ketujuh-tujuh planet sebelum ketidakseimbangan salah satu planet akan menyebabkan planet-planet jajaran lain menerima nasib yang sama.” Sambung lelaki itu lagi.
            Dan selama 500 tahun, golongan pemburu Artemis dipilih dari setiap generasi yang menghuni tujuh planet jajaran bagi melindungi dunia dari groul. Ada yang menyangka, makhluk asing pertama dikesan adalah berasal dari Planet Marikh. Hakikatnya groul adalah makhluk asing tertua yang mendiami daerah manusia. Boleh hidup dengan menyamar sebagai manusia dan akan bertukar bentuk apabila dahagakan darah. Mereka juga sukar dihapuskan kecuali menggunakan Artemis Blade, senjata para pemburu berbentuk pedang samurai berwarna hitam yang menggunakan peleburan besi dan bahan dipanggil nanotube, sejenis bahan karbon dari kayu batang Cassia auriculata dan daun Calotropis gigantea. Kesemua bahan ini akan menghasilkan nanotube yang menjadi racun kepada kewujudan groul dan berupaya membunuh mereka.
            Yuna tiba-tiba teringatkan makhluk yang cuba ditentangnya tadi di kawasan semak di tepi jalan. Dia masih ingat lagi, rupa groul itu agak berbeza dari rupa groul-groul lain yang pernah ditentangnya di  Historia dan Centaurus. Mungkinkah makhluk itu Level E? Ini bermakna kata-kata Darius benar. Groul sedang cuba memasuki bumi dari gerbang The Dark Seeker.
Bagaimana pula dengan visi yang dialaminya saat dia bersentuhan dengan makhluk itu? Imej lembaga-lembaga berkelubung yang mengelilingi keranda buruk yang berisi wajah lelaki tua bermata tajam itu masih menggerunkan hatinya sehingga sekarang. Sengaja dia tidak memberitahu Darius dan Adham tentang visinya yang satu itu. Apatah lagi dia masih belum tahu kaitan imej yang muncul di fikirannya itu dengan groul.
            Tiba-tiba pintu biliknya diketuk bertalu-talu. Yuna tersentak. Apalagi ni? Dengan perasaan malas, dia menuju ke arah pintu. Darius berdiri di luar dengan wajah serius. Ketika melihat Yuna, Darius segera menarik tangan gadis itu.
            “Aku dah hubungi Artemis. Mereka dah berjaya pecahkan kod isyarat tu. Kau diarahkan ikut kami ke Artemis. Ada misi baru dari Artemis untuk kita semua.” Ujar Darius. Yuna terpinga-pinga. Misi?
            “Darius, aku..aku sebenarnya….”
            “Pintu Dark Seeker hanya akan dibuka tak lebih dari 12 jam dari sekarang. Koordinatnya dah berubah sebab pihak Artemis bimbang Royal akan tahu kedudukan kita. Macam biasa kau kena beri alasan terbaik pada mak ayah kau sebab kita mungkin akan berada lama di Artemis.” Pintas Darius sebelum sempat Yuna menyambung kata.
            “Me..mereka sebenarnya tak ada kat rumah sekarang ini. Adik mak aku kemalangan, mereka ada di Melaka sekarang ini.” Ujar Yuna.
            Darius terdiam. “Hmm..kalau macam tu tentu tak ada masalah kami menumpang di sini sehari lagi kan?” Mata lelaki itu melorot ke arah Yuna. Yuna hanya mampu menarik nafas panjang.
            “Nahar macamana?” Tanya Yuna ringkas.
            “Anticeptor kan ada.” Jawab Darius mudah.
            Yuna menggaru kepala tidak gatal. Memang menyusahkan betul! Hendak membantah, Namun dia segan mahu menolak hajat Darius kali ini. Apatah lagi dia tahu kedua-duanya sudah cukup penat bertarung dengan beberapa groul dalam sehari dua ini.

1 comments:

tak sabar nak tunggu IV ni dibukukan..hehe