Selepas bersarapan, Orked mengikut Sarah keluar. Dia sendiri tidak tahu ke mana hala tujuan wanita itu. Dia hanya akur apabila Sarah mengajaknya keluar. Iman Rayyan yang sedang tidur ditinggalkan di rumah pengasuh kanak-kanak itu yang kebetulan tinggal berjiran dengan Sarah tidak jauh dari Corvetto Residence.
Madam Allegra yang berbadan gempal dan bermulut becok tak sudah-sudah menegur Orked di sisi Sarah, meskipun Orked tidak mampu memahami bahasa Italy yang digunakan wanita itu. Hendak ditanya, dia jadi segan dengan wanita itu.
Tapi selepas mereka meninggalkan kawasan rumah Madam Allegra, dia mengambil kesempatan bertanya. Sarah ketawa kecil mendengar pertanyaan Orked.
“Madam Allegra tu memang peramah orangnya. Dia tak fasih berbahasa Inggeris tak seperti suaminya Christiano. Tadi tu dia sebut ‘bello’. Maksudnya cantik. Kata Madam Allegra, Orked ni cantik orangnya.” Jelas Sarah lalu tersenyum.
Orked ketawa kecil mendengarnya. Cantik? Orang Italy puji aku cantik? Rabun agaknya Madam Allegra tu.
“Kenapa Orked ketawa? Tak percaya?” Sarah turut sama tergelak.
“Mana ada Orked ni cantik kak. Madam Allegra tu salah tengok kut.”
Sarah ketawa lebih kuat. “Ada pulak macam tu. Madam Allegra tu memang rabun pun. Tapi rabun dia kali ni kakak pun setuju. Siapa kata Orked tak cantik. Kakak suka tengok muka Orked. Comel! Kalau kakak ada anak perempuan, kakak nak muka anak kakak tu maam muka Orked. Sejuk mata memandang.” Sahut Sarah.
“Kalau macam tu, kakak kena pandang muka Orked ni tiap-tiap hari lah. Barulah melekat ‘comel’ Orked ni pada baby kakak nanti. Ada-ada ajelah Kak Sarah ni.” Orked menggeleng-gelengkan kepalanya seraya tersengih. Lucu mendengar kata-kata Sarah yang dua kali lima dengan Madam Allegra.
“Kalau nak pandang Orked tiap-tiap hari, nampak gaya Orked kena tinggal kat sinilah. Manalah tahu suatu hari nanti jodoh Orked orang Italy macam kakak.” Usik Sarah penuh bermakna.
Orked hanya tersenyum mendengar kata-kata Sarah. Dia tidak berhasrat sehingga begitu. Meskipun jodoh dan maut di tangan tuhan, namun dia masih belum sanggup untuk bersuamikan lelaki Italy dan tinggal jauh dari tanahairnya sendiri.
“Kita sebenarnya nak ke mana ni kak?” Orked tiba-tiba melemncongkan pertanyaan. Dia sudah tidak berminat mahu meneruskan perbualan terakhirnya dengan Sarah, bimbang ianya terus melarat. Topik yang kalau boleh ingin sentiasa dielakkannya.
Sarah tersenyum sahaja. “Hmm..hari ni kakak nak bawa Orked jalan-jalan kat tempat ni. Hari ni kakak jadi orang bujang sekejap semata-mata untuk Orked.” Ujar wanita itu.
“Jalan-jalan? Ke mana?”
“Orkedlah beritahu kakak? Di sini tempat apa yang Orked betul-betul rasa nak melawat?” Soal Sarah lagi.
Orked terdiam sebentar. Dia memang ada tujuan datang ke Italy sebenarnya. Ada janji yang belum sempat dilaksanakan oleh Idlan padanya. Seketika Orked menarik nafas panjang seraya melontarkan pandangan ke arah Sarah yang masih menantikan jawapannya.
“Boleh kita ke Duomo Square?”
Sarah tersenyum. “Pandai Orked teka. Memang kat situlah kakak cadang nak bawa Orked pergi. Sesiapa yang datang ke Milan kalau tak pergi melawat Piazza del Duomo, memang tak sah!” Canang Sarah dengan wajah gembira. Hanya Orked yang tidak terkesan dengan kata-kata itu. Kerana ada suara lain yang meniti di kepalanya saat itu.
“Abang teringin sangat nak tengok semula Gothic Cathedral di Milan. Masa belajar dulu abang dah pernah pergi tengok. Lagipun semua arkitek macam abang simpan niat yang sama nak melihat antara objek paling cantik dan unik di seluruh dunia. Tapi lain kali kalau abang pergi lagi, abang nak bawa Orked bersama abang. Orked mesti suka tengok Duomo ni. Bangunan ni dah dibina sejak abad ke-14 lagi, tapi ia masih gagah dan kukuh sehingga ke hari ini.” Cerita Idlan masih disimpannya satu persatu di dalam kepalanya.
“Kalau kita sampai ke sana nanti, abang nak bawa Orked pergi tengok patung St. Bartholomew, tengok Santa Maria delle Grazie, tengok Castello Sforzesco dan macam-macam lagi.”
Dia hanya ketawa mendengar kata-kata Idlan.
“Abang ingat Orked ni macam abang ke? Suka tengok bangunan yang pelik-pelik tu? Kalau Orked nak melawat Milan, Orked cuma nak pergi shopping kat sana. Nak beli Prada, beli Louis Vuitton barulah best.” Dia sengaja mahu mengusik Idlan yang terpisat-pisat memandangnya.
“Mahal benda-benda tu semua kat sana. Paling-paling kurang mahu cecah R3000 hingga RM5000 untuk sebuah beg. Alah Orked ni membazir ajelah nak beli benda-benda tu semua. Pakai ada beg Prada dan Louis Vuitton yang jual kat sini. Murah je.” Idlan tersengih-sengih memandangnya.
“Kalau sekadar yang kat Petaling Street tu baik tak payah.” Dia mencebik pura-pura merajuk. Kerana dia tahu Idlan paling suka memujuknya.
Seperti yang diduga lelaki itu ketawa kecil melihat gerak-gerinya. Idlan menarik bahunya lalu merenungnya penuh asyik.
“Kalau Orked nak beg Prada tu, Orked kena janji sesuatu dengan abang.” Idlan cuba menggumpan.
Dia memandang Idlan. Kata-kata lelaki itu membuatkan seluruh perhatiannya tertumpu pada wajah Idlan yang sedang menatapnya.
“Apa?”
“Janji dengan abang yang Orked akan terus cintakan abang sampai bila-bila pun. Kecuali kalau abang sudah mati, Orked kena lupakan abang dan teruskan hidup Orked.” Bisik Idlan.
Dia memandang Idlan yang kelihatan serius. Matanya tanpa disedari sudah mulai merah. Entah kenapa dia benar-benar tidak menyukai kata-kata Idlan yang satu itu.
“Orked tak suka dengar abang cakap macam tu. Kenapa abang selalu suruh Orked lupakan abang kalau abang dah mati? Abang tahu tak, kematian tak pernah menjadi pemisah cinta. Orked akan sayangkan abang, cintakan abang sampai akhir hayat Orked. Mungkin sehingga tubuh Orked reput sekalipun, hati Orked tetap pada abang.” Dia mengakuinya tanpa malu. Cintanya menjadi madah yang paling ikhlas pernah dilafazkannya untuk seorang lelaki.
Orked memejamkan mata. Ada air hangat bertakung di kelopak matanya. Dia memalingkan wajah ke luar tingkap kereta yang sedang dipandu oleh Sarah. Dia tidak ingin wanita itu terus menjadi saksi pada sebuah kelukaan yang dirasakannya saat ini. Kehilangan! Dia sudah kehilangan Idlan. Apa lagi yang tinggal untuk dirinya?





1 comments:
suka sgt..................apapun, i followwwwwwwwwwwwww
Post a Comment