Empat belas jam menaiki penerbangan MAS dari Kuala Lumpur ke Milan, memang perjalanan yang memenatkan. Ditambah pula kapal terbang yang dinaikinya singgah di Thailand. Dari Thailand, barulah dia meneruskan perjalanan ke Milan menaiki pesawat Thai Airways. Dalam perut Thai Airways, lelaki yang duduk disampingnya tidak lagi kelihatan. Dan dia pula tidak ingin terus mencari lelaki itu, meskipun separuh dari hatinya mengkehendaki dia berbuat demikian. Apa gunanya Orked? Dia bukan orang yang kau cari. Wajahnya mirip tapi hatinya bukan untuk kau. Sepanjang penerbangan dia berbisik begitu. Meski jiwanya meronta-ronta inginkan kepastian siapakah lelaki itu, namun dia memaksa dirinya untuk tidak terus menyakitkan hatinya sendiri.
Dia seperti seorang buta yang berjalan tanpa tongkat di tengah-tengah keributan manusia yang tersadai di Milan Malpensa International Airport. Dia tidak tahu ke mana harus ditujuinya. Tidak ada sesiapapun yang menantinya di situ, dan tidak ada sesiapa pun yang mengenalinya. Di tempat asing itu dia hanya bersendirian. Sengaja dia tidak menghubungi agensi pelancongan ketika di Kuala Lumpur. Malah ketika Arida bertanya, dia hanya mengatakan dirinya akan dijemput orang dari agensi pelancongan. Ketika itu dia sendiri tidak tahu kenapa dia berbohong dengan kawan baiknya sendiri.
Orked duduk di salah sebuah bangku di kawasan lapangan terbang. Matanya ralit memerhatikan ragam manusia-manusia pelbagai bangsa di hadapannya. Kadang-kala dia juga terserempak dengan beberapa pelancong dari Malaysia. Ketika rombongan itu melewatinya, dia hanya mampu tersenyum. Seusai itu dia kembali termenung. Tidak pasti apa yang harus dilakukannya atau ke mana hala tujuannya. Dia hanya mahu melarikan diri. Sedikit pun dia tidak pernah terfikir lebih dari itu.
“Adik…” suatu suara menyapa dari arah belakang. Orked berpaling. Melihat orang yang menegurnya ialah perempuan yang ditolongnya di dalam kapal terbang itu, dia segera bingkas bangun dari bangku.
“Ya kak?” Tanya Orked lembut. Sangkanya perempuan itu perlukan bantuan. Fikirnya pula apa salahnya dia membantu, apatah lagi dia sendiri tidak tahu apa yang harus dilakukannya di situ.
“Adik datang sini sorang-sorang ke?’ Tanya perempuan itu. Anak kecil yang dikendongnya merengek-rengek di dukungan.
Orked terpanar. Tidak tahu jawapan bagaimana harus diberikan pada wanita itu. Tapi memandangkan orang yang bertanya kelihatan ikhlas dengannya, hendak tak hendak dia mengangguk. Sekadar mengiyakan apa yang benar.
Dahi wanita itu berkerut mendengar jawapannya.
“Untuk apa? Berjalan-jalan? Bisnes?” Tanya wanita itu bertalu-talu.
Sekali lagi Orked terkedu. Pertanyaan demi pertanyaan yang dilontarkan wanita itu membuatkan dia langsung bungkam. Melihat perubahan pada wajah Orked, wanita itu tiba-tiba tersenyum.
“Maaf, kakak tak sepatutnya banyak bertanya. Kakak cuma hairan tengok adik ni duduk sorang-sorang di situ. Dah dekat sejam lepas flight kita landing. Kakak ingatkan adik ni ikut trip tour dari Malaysia.” Jelas wanita itu beserta senyuman ramah yang tidak lekang-lekang dari bibir.
“Kenalkan nama kakak Sarah.” Wanita itu menghulurkan tangan.
Orked teragak-agak mahu menyambutnya. “Orked. Orked Halina.” Ujarnya perlahan. Matanya merayap pada anak kecil di pangkuan Sarah.
“Oh ya ini pula anak kakak. Iman Rayyad.”
“Berapa tahun ni kak?”
“Dah nak masuk dua tahun, buasnya tuhan saja tahu.” Sarah ketawa kecil.
Orked turut ketawa. Dia asyik menyentuh-yentuh pipi Irman yang agak tembam dan bulat. Comel sekali anak Sarah. Kulitnya putih mulus. Sekali pandang anak itu bukan seperti anak melayu lain. Macam kacukan pun ya!
“Boleh kakak tahu Orked nak ke mana?” Tanya Sarah semula. Kembali pada pokok persoalan pertama yang belum terungkap.
“Err..saya nak cari hotel dulu untuk bermalam.”
“Lepas tu?”
“Hmm mungkin jalan-jalan di sini.” Lancar Orked menjawab. Dia tidak mahu ketidakyakinannya terus menimbulkan rasa curiga di hati Sarah.
“Macam ni lah, apa kata kalau Orked ikut kakak balik? Lepas ni kakak nak naik Malpensa Express Train ke Cadorna Staziorne Nor di pusat bandar. Kalau Orked tak kisah, kakak boleh tumpangkan Orked kat rumah kakak sepanjang Orked ada di Milan.” Usul Sarah.
Orked memandang wanita di hadapannya agak lama. Dia sebenarnya berasa serba-salah. Dia tidak ingin menyusahkan Sarah sebenarnya. Lagipun tujuannya ke Milan kerana tidak mahu membazirkan tiket yang diserahkan oleh Arida tempohari. Jika bukan kerana kemunculan tiket itu dan wang sebanyak RM50,000 yang diserahkan Idlan padanya, tak mungkin dia akan memberanikan diri memijakkan kaki ke tempat yang digelar New Paris oleh setiap pelusuk dunia.
“Saya tak nak susahkan kakak.” Dia berterus-terang.
Sarah ketawa kecil mendengar kata-katanya. “Susah apa pulak. Kalau Orked nak tahu kakak tinggal berdua aje dengan anak dekat Bizzore. Suami kakak orang Italy, selalu sibuk dengan urusan kerja. Kakak nak bekerja dia tak bagi. Terpaksa duduk di rumah sahaja jaga si Iman ni. Kalau Orked sudi, kakak boleh bawa Orked jalan-jalan di Milan ni. Free of charge je..kakak tak kenakan bayaran.” Ujar Sarah separuh bergurau.
Orked tersenyum kecil. Pujukan Sarah sedikit demi sedikit menular di dalam fikirannya. Dengan bersusah payah dia akhirnya mengangguk tanda setuju. Tersenyum lebar Sarah apabila melihat kesanggupannya.
Dia segera mengikut Sarah ke stesyen keretapi laju stesyen Malpensa Express Train yang terletak di dalam bangunan lapangan terbang itu. Sementara menanti Sarah membeli tiket, Orked mendukung Iman Rayyad yang sudah tertidur. Bibirnya menguntum senyuman ketka asyik menatap Iman Rayyad yang sedang terlentok di bahunya. Comelnya Iman, bila besar nanti tentu handsome dan ramai peminat, Orked tersenyum sendiri.
Bila Sarah kembali, mata wanita itu terkelip-kelip melihat Iman Rayyad yang sudah tertidur.
“La tidur pulak budak ni. Selalunya kalau dengan orang lain, dia susah sikit nak tidur. Agaknya dia suka kat kakak Orked dia yang comel ni agaknya.” Sarah mengusik seraya mengambil anaknya dari Orked. Sebelah tangannya menghulurkan tiket pada Orked.
“Berapa harga tiket ni kak?” Tanya Orked seraya mengambil dompetnya, mahu membayar duit tiket keretapi yang dibeli oleh Sarah.
“Alah tak payahlah, simpan aje duit Orked tu. Bukan mahal pun, 9 Euro aje.” Ujar Sarah sambil tersenyum. Orked tidak jadi membayar. Di dalam hati dia rasa bersyukur dipertemukan dengan Sarah yang baik hati.
Tidak sampai sepuluh minit menanti, keretapi ekspress itu tiba di hentiannya. Sarah melompat naik sambil dibantu oleh Orked. Dia turut membantu memindahkan bagasi-bagasi Sarah dari troli. Seorang lelaki berbangsa Italy mahu menawarkan bantuan, namun Orked hanya menggeleng.
Usai mengangkat bagasi-bagasi wanita itu, Orked turun pula untuk mendapatkan bagasinya sendiri yang masih tertinggal di dalam troli. Namun ketika dia mahu mencapai bagasinya, telinganya menangkap bunyi kanak-kanak menangis. Dia segera berpaling. Seorang kanak-kanak berbangsa Inggeris sedang menangis di sisi ibunya yang sedang berbual-bual menggunakan telefon. Namun perhatian Orked bukan tertumpu pada kanak-kanak itu. Sebaliknya matanya terpaku pada seraut wajah yang berteleku di hadapan kanak-kanak itu sambil menunjukkan mimik wajah lucu untuk memujuk anak kecil itu. Lelaki itu lagi!
Orked memalingkan wajah. Tuhan! Kenapa wajahnya terlalu mirip dengan Idlan? Kenapa dia mesti muncul di hadapanku pada saat-saat begini?
“Orked..” wajah Sarah muncul di salah sebuah jendela keretapi yang terbuka luas sambil melambai-lambai ke arahnya. Orked segera mencapai bagasinya. Namun matanya masih mencuri pandang gerak-geri lelaki itu. Si lelaki tiba-tiba menoleh. Bangun dan memandang tepat ke arahnya..
“Orked, cepatlah. Kejap lagi train ni nak gerak.” Sarah tiba-tiba muncul lalu menarik tangannya. Dia seperti orang bodoh hanya mengikut. Tapi ketika dia menoleh sekali lagi ke arah lelaki itu, mata si lelaki masih meratah wajahnya. Orked terpaku. Idlan! Renungan itu milik Idlan. Renungan dan pandangan yang masih sama seperti dulu!
Gerabak keretapi mula bergerak. Menyedari keretapi itu sedang meninggalkan stesyen, Orked seperti hilang akal segera berlari ke arah salah sebuah jendela. Entah kenapa ada sesuatu yang menyuruhnya agar terus mencari lelaki itu. Melihat kelibat lelaki di luar sana, Orked sudah tidak mampu menahan getar perasaannya.
“Idlan!!!” Jeritannya bergema kuat. Nyaring dan mengejutkan hampir sebilangan penumpang-penumpang keretapi express itu. Termasuklah Sarah yang tergaman sambil mendukung Iman Rayyad yang sudah terjaga dari tidurnya.





0 comments:
Post a Comment