THE WORLD OF ANITA ARUSZI

Everyone has a dream..but my dream is to wanna make ur happy..

Followers

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

            SETIAP manusia di dunia ini pasti memiliki sebuah kisah cinta. Tidak kisahlah jika ianya seindah pelangi atau sepahit hempedu. Tidak ada manusia pun di dunia ini yang diberi hati untuk tidak merasai cinta. Di mana-mana sahaja tempat di dunia ini, cinta itu sentiasa wujud. Seorang manusia mati dan rohnya meninggalkan jasadnya, namun tidak cintanya. Kerana cinta tidak akan pernah mati. Tiada sebarang sempadan wujud untuk mengukur seluas mana lautan cinta. Namun hanya manusia yang bercinta sahaja akan tahu mengukurnya. Memberi paksi pada hati agar sentiasa teguh dan tabah.
            “Orked, cinta itu ada di mana-mana. Di luar sana akan ada seseorang untuk dirimu sayang. Yang akan menghargai dan menyayangi Orked tanpa alasan. Carilah cinta untuk dirimu sayang..agar Orked tidak terus sesat dalam pencarian. Gapailah tangan seseorang untuk dijadikan pasak kekuatan untuk dirimu. Carilah ianya sayang. Jangan ditunggu cinta yang sudah mati.”
            Dia memejamkan mata seraya menggeleng. Suara itu kerap hadir menganggunya. Namun dia tidak pernah serik untuk terus berpegang pada kata hatinya. Tidak! Cinta takkan mati. Tidak akan ada sesiapapun yang dapat merampas cinta di hatinya untuk selama-lamanya. Tidak ayahnya, tidak ibu tirinya Maria dan tidak akan ada sesiapa pun. Mereka semua takkan dapat memaksa dia melupakan semua itu. Tidak sehingga ke akhir hayatnya.
            He’s dead Orked. Apa lagi yang kau tak faham?” Suara Arida kedengaran melengking. Teman baiknya itu orang yang paling tidak mampu menerima keadaan dirinya yang tidak terurus selepas majlis pengebumian Idlan berakhir. Dan setelah setahun berlalu, dia masih tidak terurus. Masih hidup dalam dunianya sendiri tanpa pernah ambil peduli hal-hal di sekelilingnya. Semua yang penting dahulu di dalam hidupnya sudah tidak bererti apa-apa lagi sekarang ini.
            “Apa gunanya kau mencintai orang yang sudah mati? Untuk apa sakiti diri begini untuk dia?” Arida sentiasa tidak jemu-jemu bertemu dan memujuknya. Hanya dia yang berdegil, tetap memekakkan diri dengan setiap nasihat yang terlontar dari bibir temannya.
            “Ini pilihan aku sendiri.” Dia berkeras.
            “Pilihan untuk bunuh diri?”
            Dia memandang Arida dengan mata bersinar-sinar. Ada perasaan tidak senang di hatinya dengan kata-kata temannya, meskipun dia tahu Arida tidak bermaksud begitu.
            “Dah dekat setahun dah dia meninggal. Orang mati takkan kembali Orked.”
            Sekali lagi dia membuang pandang ke arah gadis di hadapannya yang bermulut agak lancang hari ini.
            “Kalau kau datang hanya nak sakitkan hati aku, baik kau balik aje Ari.” Dia membalikkan tubuh. Matanya terperosok pada sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain buaian jongkang–jongket di kawasan perumahan yang disewanya hampir setahun yang lalu.
            Arida mengeluh panjang. Melihat sikapnya yang acuh tak acuh, temannya seolah kehabisan ikhtiar. Perlahan-lahan Arida bangun dari bangku kayu yang mereka duduki.
Pandangan gadis itu mengarah tepat ke arahnya.
            “Aku memang nak balik pun, tapi aku tak sanggup tengok kau macam ni Orked. Bila dia meninggal, kau langsung tak menangis. Kenapa?”
            “Sebab dia belum mati dalam hati aku! Puas hati?” Herdiknya tanpa sedar. Suaranya yang meninggi membuatkan Arida terdiam tanpa sebarang kata. Tiba-tiba perasaannya bercelaru. Meninggi suara dengan Arida bukan niatnya sama sekali.
            “Maaf Ari, aku tak sengaja.” Ujarnya kesal.
            Arida hanya diam.
            “Katakan sahaja aku perempuan gila atau bodoh. Tapi tidak ada sesiapa pun faham perasaan aku pada dia. Dia lelaki pertama yang datang menyelamatkan aku di saat-saat aku perlukan pelindungan. Dia yang damaikan hati aku setiap kali aku susah hati. Dia juga yang berjaya buatkan aku ketawa ketika bibir aku tak mampu untuk tersenyum. Dialah segalanya Ari. Dan bila tuhan mengambil dia dari aku, aku merasa tuhan telah mengambil nyawa aku sekali. Hati aku dah jadi kembali kosong. Dan hati yang kosong ini tak mampu menangis lagi bila setiap malam aku mengharapkan dia kembali.” Bisiknya mengharapkan agar gadis itu faham dan memahami perasaannya.
            Arida memandang wajahnya dengan pandangan yang sukar dimengertikan. Nafas Arida mendesah perlahan. Gadis itu menggeleng-gelengkan kepalanya.
            “Aku rasa aku dah tak mampu lagi untuk ubah fikiran kau Orked. Apa kata kau pergi bercuti ke mana-mana. Cuba tenangkan fikiran kau. Beri ruang dan kesempatan untuk diri kau sendiri berfikir apa yang baik dan apa yang tak baik untuk diri kau.”
            Arida membuka tas tangannya. Sekeping sampul surat dikeluarkan dari dalam beg tangan lalu dihulurkan padanya.
            “Apa ni?”
            “Tiket kapal terbang.” Sahut Arida selamba.
            “Untuk apa Ari?”
            “Aku nak kau ambil tiket tu dan pergi tenangkan fikiran. Buat lah apa sahaja yang kau suka asalkan kau kembali ke sini sebagai Orked yang aku kenal dulu.” Ujar Arida lalu beredar pergi.
            Dia hanya terpempan melihat susuk tubuh Arida yang berayun pergi meninggalkan kawasan taman permainan di rumahnya. Sebaik kelibat gadis itu menghilang, dia merenung sampul surat di tangannya. Tangannya tanpa sedar merungkai sampul surat tersebut lalu mengeluarkan isinya. Sekeping tiket kapal terbang tidak bertarikh beserta cek atas namanya sebanyak RM50,000 ditatapnya dengan wajah bingung. Di celah-celah tiket kapal terbang terdapat sekeping memo kecil tulisan tangan Arida.

Orked…
Tiket dan cek itu sebenarnya diserahkan oleh Idlan beberapa minggu sebelum dia terlantar di hospital. Dia nak aku serahkannya pada kau. Aku tahu, dia nak kau bahagia walau di mana sahaja kau berada. Jangan ditanya kenapa baru sekarang aku serahkannya pada kau? Kenapa bukan setahun yang lalu? Ini adalah permintaan Idlan sendiri. Hargailah peluang ini Orked. Carilah kekuatan kau yang lalu.
                                                                                                                                                                             - Arida -
            Pengumuman yang bergema di kawasan lapangan terbang KLIA itu mengganggu lamunannya. Panggilan terakhir untuk perjalanan ke Milan berkumandang melalui interkom. Di saat-saat akhir dia menukar fikiran dan bersetuju untuk mencari sekelumit ketenangan dirinya di daerah asing yang tidak sesiapa pun mengenalinya. Mungkin ini lebih baik. Daripada dia menghabiskan sisa-sisa usianya memikirkan tentang Idlan.
            Dia bangun dari kerusi yang didudukinya lalu mengeluarkan boarding pass dari dalam saku bajunya. Ketika dia mahu meluruskan tubuh, matanya terpandang sesusuk tubuh lewat di hadapannya sambil mengheret sebuah bagasi troli. Untuk sekejap, wajahnya bertukar kaget. Hatinya berdebar-debar menatap lelaki yang sedang beratur di hadapannya. Tak mungkin dia! Mungkin hanya pelanduk dua serupa. Hati kecilnya tak sudah-sudah mengatakan begitu, sedang matanya asyik memerhatikan lelaki di hadapannya yang berwajah serius. Paling mengejutkannya lelaki itu menaiki penerbangan yang sama dengannya! Tuhan!

0 comments: