SEBUAH kenderaan pacuan empat roda berhenti mengejut di bahu jalan. Dua lelaki muda keluar dari kenderaan itu lalu terpandang Yuna yang sudah lembik longlai di dalam cengkaman groul berwajah hodoh itu. Gigi taring lembaga itu hanya sejengkal dari leher Yuna. Melihat keadaan gadis itu genting, kedua-duanya serentak bertindak. Di tangan masing-masing terhunus sebilah pedang hitam samurai yang memancar-mancar di bawah sinaran bulan.
Adham memulakan serangan. Dia meluru ke arah lembaga itu lalu melibaskan pedang hitamnya ke arah lembaga itu. Lembaga itu melolong kesakitan lalu melepaskan Yuna yang sudah nyawa-nyawa ikan.
“Darius!” Jerit Adham. Bagaikan mengerti maksud Adham, Darius segera menyambut tubuh Yuna lalu menjauhi kawasan itu. Dia sempat memeriksa leher Yuna. Mujur tidak ada apa-apa kecederaan pada gadis itu. Darius mengeluh lega. Dia mengerling ke arah Adham yang sedang bertarung dengan makhluk Groul. Darius mahu membantu, tapi tiba-tiba lengannya dipaut. Darius menoleh. Dengan mata terpisat-pisat, Yuna memandangnya dengan wajah bingung,
“Macamana kau boleh ada kat sini?” Soal Yuna.
“The Guardian hantar kami.”
“Kenapa?”
Darius tidak menjawab. Matanya dilarikan dari wajah Yuna. Pandangannya kini terjerumus pada makhluk di hadapannya yang cuba menyerang Adham yang asyik mengelak dari dicakar. Kecederaan yang dialami makhluk itu akibat tikaman pedang Adham membuatkan makhluk itu semakin berang. Matanya merah menyala dengan bunyi rengusan yang menyeramkan.
“Adham!” Jerit Darius.
Adham berpaling. Melihat Darius melemparkan cemeti miliknya, Adham segera menyambutnya. Dia sudah tahu apa yang patut dilakukannya. Ketika lembaga itu mahu menerkam ke arahnya, dia segera bertindak melempar cemeti di tangannya ke arah tengkuk lembaga itu lalu melompat ke atas sebatang pohon. Tali cemeti itu digalas pada batang pohon itu sebelum dia menyelongsor ke bawah. Tubuh lembaga itu melayang ke atas lalu tergantung pada tali yang menjerut batang tengkuknya.
Melihat Adham berjaya menyelesaikan tugas, Darius bangun lalu segera mendekati makhluk yang sedang meronta-ronta dari jerutan tali.
“Giliran aku sekarang.” Bisik Darius. Adham hanya membiarkan. Dia tersengih lalu memberi laluan pada lelaki itu.
Darius mengeluarkan sebilah pedang hitam dari sisipan tali di pinggangnya. Pedang itu diangkat tinggi-tinggi, sedia untuk membenamkannya jauh ke lubuk jantung lembaga tersebut. Sejurus kemudian, muncul raungan yang membingitkan persekitaran belukar di tepi jalan itu. Beberapa saat kemudian, lolongan itu bertukar semakin dahsyat apabila api yang marak mula membakar tubuh makhluk itu sedikit demi sedikit sehingga rentung.
Tubuh makhluk itu mula bertukar menjadi debu, satu kebiasaan pada makhluk groul yang tidak lagi bernyawa.
“Selesai satu tugas.” Bisik Darius lalu berpaling ke arah Adham yang berpeluk tubuh.
Adham hanya mengangguk lalu berpaling. Yuna sedang memerhatikannya dengan wajah mencuka. Sesaat kemudian mata mereka saling berlaga. Dia tersenyum memandang Yuna, tapi tidak ada sekelumit balasan pun dari gadis itu.
“Kau tak apa-apa?” Dia menyapa Yuna.
Yuna tidak menjawab. Dia cuba bangun, namun entah kenapa kepalanya sedikit pusing. Melihat keadaan Yuna yang terhuyung-hayang, Adham cuba menghulurkan bantuan namun ditepis Yuna.
“Aku tak perlu bantuan kau.” Ujar Yuna tanpa memandang ke arah Adham.
“Oh ya? Kalau tak salah aku, kalau bukan kerana kami datang, kau nyaris-nyaris kena gigit dengan benda tu.” Balas Adham sinis.
Yuna tersentak. Cepat-cepat dia meraba lehernya. Bimbang jika ada kesan gigitan pada lehernya. Tapi menyedari tidak ada apa-apa luka di lehernya, dia jadi lega. Adham ketawa kecil. Darius hanya tersenyum dari jauh. Dibiarkan sahaja kedua-duanya berbual sementara dia cuba menghapuskan saki baki kesan tinggalan makhluk itu.
“Kau tak pernah berubah-ubah. Asyik nak marah-marah. Dah enam bulan kita tak jumpa, kau tak rindukan aku?” Usik Adham sengaja mahu menyakat gadis itu.
Yuna membeliakkan matanya besar-besar. Rindu? Tolong sikit, perasan betul mamat tu! Cebik Yuna seraya cuba bangun sekali lagi. Tapi dia nyaris-nyaris terhumban ke suatu arah. Adham cepat-cepat menyambut tubuh Yuna dari terjatuh.
Yuna tergaman. Ledakan perasaannya berkocak. Yuna Elina sekarang berada dalam dakapan Adham Kai yang dibencinya. Untuk seketika tubuhnya terasa membeku. Telinganya dapat mendengar deru nafas Adham yang tenang. Juga dapat mendengar nafasnya sendiri yang kencang. Aneh! Dia bersentuhan dengan lelaki itu tapi tidak ada sebarang visi yang muncul seperti dulu. Sebaliknya dia merasakan suatu gelodak emosi yang gagal difahami. Kenapa begini? Kenapa tiba-tiba sahaja aku berdebar-debar begini? Yuna, sedar diri sikit. Dia bukan lelaki idaman kau. Eddy mungkin adalah lelaki idaman Malaya kau, tapi bukan Adham Kai. Hati kecilnya saling memprovok.
“Memang kau rindukan aku kan ? Sebab tu kau suka kita begini. Darius dah jeling kita sayang.” Bisik Adham di telinganya.
Bagaikan baru tersedar dari lamunan yang panjang, Yuna segera menolak tubuh Adham menjauhinya. Dia mengigit bibirnya sejenak, mula merasa keliru dengan apa yang baharu berlaku sebentar tadi. Dia sempat mengalihkan pandangan ke arah Darius yang terpisat-pisat memandang ke arahnya. Damn it! Malu besar!
Ketawa Adham bergema. Seperti biasa lelaki itu paling pandai menyakiti hatinya dengan cara yang tak disangka-sangka. Enam bulan dia merasa aman tapi kini lelaki itu muncul lagi dan mengugat apa yang dimilikinya.
“Nampaknya tak ada kesan kehadiran groul-groul lain. Mungkin yang ini terpisah dari kumpulannya.” Ujar Darius seraya mendekati Yuna dan Adham.
Yuna menjeling kedua-dua lelaki itu silih berganti. “Apa kau berdua buat kat sini sebenarnya? Dan beritahu aku kenapa groul tu boleh ada kat sini?” Soal Yuna bertalu-talu. Dia inginkan jawapan segera.
“Itu kau kena dengar penjelasan dari Guardian sendiri. Mereka minta kau ikut kami pulang ke Artemis.” Ujar Darius.
“Aku tak nak pulang. Bahagian apa lagi yang kau orang berdua ni tak faham-faham?” Keluh Yuna separuh geram. Dia memalingkan wajah, lalu terpandang susuk Nahar yang masih tertiarap di atas rumput-rumput basah.
“Kau ni degil betullah.” Rungut Adham seraya menggeleng-gelengkan kepalanya. Seolah kesal dengan sikap Yuna yang keras kepala. Memang dasar hati batu!
Yuna menjeling lelaki itu. Namun dia tidak ambil kisah dengan kata-kata itu. Sejak dulu dia dan Adham tidak pernah sebulu dalam apa jua perkara. Lagi-lagi setelah apa yang berlaku di antara dia dan lelaki itu enam bulan yang lalu. Peristiwa yang menyebabkan dia kembali ke Bumi dan memutuskan hubungannya dengan Artemis.
“Yuna, ada sesuatu yang bahaya sedang berlaku di sini.” Ujar Darius. Wajah lelaki itu kelihatan serius.
Yuna berpaling. Terkelip-kelip dia memandang Darius yang menyusun bicara yang kedengaran aneh di telinganya. Bahaya? Bahaya bagaimana?
“Apa maksud kau?” Tanya Yuna. Kali ini dia menaruh sepenuh perhatian pada kata-kata Darius. Wajah lelaki itu ditatap tidak berkelip.
“Serangan hari ini, bukan satu-satunya serangan yang berlaku malam ini. Sepanjang 24 jam yang lalu, kami dah pergi ke lima tempat berbeza memburu groul.” Ujar Darius.
Yuna tergaman. Mustahil! Setahunya tidak ada groul di bumi.
“Beberapa minggu yang lalu, kami kesan isyarat aneh di angkasa. Artemis cuba menyahkod isyarat aneh itu. Kami fikir ianya datang dari sistem bintang Groulier. Para Guardian fikir, groulier sedang merancang sesuatu. Dan beberapa hari yang lepas satelit kami mengesan sebuah kapal groulier bergerak menuju ke bumi.” Ujar Darius lagi. Adham tidak berminat mahu menyampuk. Dibiarkan sahaja Darius yang bercerita, sambil matanya asyik menatap wajah Yuna dalam diam-diam.
Kata-kata Darius membuatkan Yuna tersentak. Tiba-tiba dia teringat cahaya yang dilihatnya di langit beberapa jam yang lalu. Groulierkah itu? Yuna tiba-tiba jadi resah. Serentak dia berpaling ke arah adiknya Nahar yang langsung tidak bangun-bangun. Kalau benar makhkluk groul sudah sampai ke bumi, bagaimana dengan nasib keluarganya? Bagaimana dengan nasib berbillion penduduk-penduduk di bumi?
“Kau kata kau jumpa lebih banyak groul di sini sejak 24 jam yang lalu. Apa kau fikir bumi menjadi sasaran groulier sekarang ini?” Soalnya seraya terduduk lemah di atas rumput dengan wajah tak bermaya.
Darius dan Adham saling berpandangan sesama sendiri. Airmuka Yuna yang cemas membuatkan kedua-duanya turut bersimpuh di hadapan gadis itu.
“Itu sebabnya kau kena ikut kami. Guardian perlukan bantuan kau. Kami masih tak tahu kenapa groulier datang ke mari. Mereka di Artemis fikir isyarat itu adalah petandanya. Jika kita berjaya menyahkod isyarat dari kapal groulier tu, kemungkinan besar kita akan tahu apa tujuan mereka ke mari.” Ujar Darius , cuba memujuk gadis itu.
“Baik kita tinggalkan tempat ni secepat mungkin. Bau darah hanya akan menarik perhatian groul-groul lain.” Cadang Adham tiba-tiba. Tanpa disuruh dia segera mengangkat tubuh Nahar lalu memasukkan anak muda itu ke dalam kenderaan pacuan empat roda berwarna merah hati.
Yuna tercengang. “Kau nak bawa ke mana adik aku tu?” Sergah Yuna seraya menjeling tajam lelaki itu. Adham berpaling seraya merenung Yuna yang suka membantah tindak-tanduknya.
“Cik adik, entah dah berapa lama dia terbaring kat atas rumput tu. Kau nak aku biarkan dia sampai esok pagi? Beritahu aku macamana kau nak bawa balik seorang yang pengsan dengan menaiki motor tu? Kau ada lesen memandu?” Soal Adham bertubi-tubi. Geram sedikit dengan telatah gadis itu.
Yuna terdiam. Dia menggaru kepala tidak gatal. Betul juga!
“Yuna, kau naik jip tu dengan Adham. Motorsikal ni aku bawak balik.” Suruh Darius lalu melompat ke atas motorsikal milik Nahar. Enjin motor segera dihidupkan. Yuna terpinga-pinga. Mulutnya ingin membantah, tapi melihat Darius pergi seperti ribut, dia hanya mampu menelan asap.
“Nak naik ke tak nak?” Kepala Adham menjenguk dari arah tempat duduk pemandu. Yuna mengetap bibir. Grr…gera mnya aku! Hendak tak hendak dia segera membuka pintu belakang.
“Duduk kat depanlah. Kau ingat aku ni siapa, pemandu peribadi?” Sindir Adham. Yuna menjeling lagi. Memang nak kena mangkuk hayun ni. Tapi ketika membuka pintu jip itu, matanya tiba-tiba berpaling ke arah tempat duduk belakang. Baru dia perasan akan kehadiran seorang lelaki yang selekeh dan tidak terurus sedang tidur di samping Nahar. Dahi Yuna segera berkerut.
“Siapa kat belakang tu?” Dia menanya.
Adham sekadar tersengih. “Dia pengemis yang kami jumpa masa kami bertarung dengan groul kat kawasan bandar.” Jawab Adham selamba.
Mata Yuna membulat mendengar penjelasan lelaki itu.
“Kenapa kau bawa dia balik? Nak letakkan dia kat rumah kebajikan ke?”
Adham ketawa besar menden gar kata-kata Yuna kali ini. Entah kenapa kata-kata itu dirasakannya amat kelakar.
“Sebenarnya aku dan Darius bawa dia balik sebab dia dah nampa k kami berlawan dengan groul.” Jelas Adham.
“Mana Anticeptor kau oran g?” tanya Yuna.
Adham menggaru kepala sambil matanya melurus ke hadapan. Kata-kata Yuna dibuat acuh tak acuh. Yuna mengetap bibir. Hmm..macam aku dah biasa dengan muka buat-buat bodoh tu. Ini mesti kes lupa bawa anticeptor la ni.. Dia malas mahu bertanya lagi. Masalahnya sudah terlalu banyak dalam masa satu hari ini.
“Kau okey?” Soal Adham tiba-tiba.
Yuna mengerling. “Kenapa pulak aku tak okey?”
“Aku tahu kau tak suka jumpa aku.”
Yuna mengeluh kecil. Dah tahu kenapa tanya lagi!
“Tapi aku nak kau tahu yang aku tak pernah salahkan kau. Kau mungkin tak suka jumpa aku, tapi aku gembira dapat jumpa kau hari ni.” Ucap Adham dengan wajah serius.
Yuna terdiam. Perasannya berkecamuk. Kata-kata lelaki itu mencetuskan pelbagai perasaan yang selama ini enggan difikirkannya. Dia melontarkan pandangan ke luar jip, mengintai pekat malam yang kelihatan sunyi mewarnai sepanjang perjalanan mereka. Adham! Kenapa? Kenapa kau mesti muncul lagi? Keluhan itu hanya mampu berlagu dalam hati. Yang nyata dia merasa terganggu dengan kehadiran Adham dan Darius, tapi anehnya gangguan itu tidak terlalu menganggu buatnya kali ini.





0 comments:
Post a Comment