Followers

SINOPSIS MENCARI KIBLAT CINTA (TERBARU 2012)

You smile and your heart, make me tremble inside, Danira. Believe it or not..it is already shaking for a few times……

Kerana satu tragedi hitam, dua beradik terpisah. Danira dipenjarakan, sepi dan sendiri di gerigi besi. Naufal pula hilang entah ke mana. Misi pertamanya setelah dibebaskan ialah mencari Naufal, tapi yang ditemukan ialah Tengku Filman, lelaki yang punya segala-galanya. Hidup yang sempurna, kerjaya dihormati serta keluarga yang bahagia. Sedangkan dia gadis yang kontras dengan kesempurnaan Tengku Filman. Jika Tengku Filman A, dia pula C. Jika Filman Mr.Right, dia pula hanyalah gadis di loteng usang. Dan kerana Filman, dia menemukan Aliff …lelaki traumatik dengan kenangan kosong.

Dalam sempurna Tengku Filman, ada sekeping hati yang tidak pernah sembuh. Namun kerana Danira, dingin Tengku Filman melebur. Wajah Danira memenuhi setiap ruang kosong di hatinya. Cintanya kini berkiblat agung. Bertunjangkan kasih.

Di hadapan orang, dia terlihat bahagia. Miliki segala-galanya yang dimahukan. Tapi dalam senyuman dan gelak ketawanya, rupanya Aliff tidak pernah gembira. Jiwanya menderita, tapi tidak ada sesiapa yang tahu apa yang terpendam sejak sekian
lama. Sebuah rahsia hitam, melontar dirinya ke dalam jurang dalam. Namun kehadiran Danira dalam hidupnya telah merubah segala-galanya.


KINI SUDAH BOLEH DIPESAN MELALUI EMAIL arr_nita@yahoo.com

ALAMAK! LAGI-LAGI DIA

ALAMAK! LAGI-LAGI DIA
SUDAH BERADA DI PASARAN SEKARANG!!

Thursday, August 19, 2010

Kasihku Arina 2 : Bab 6

“Alwiz!” Satu jeritan nyaring berkumandang di tengah-tengah kepekatan malam. Arina terjaga dari tidur dengan wajah memucat. Nafasnya turun naik menahan gelisah.

Nakhael yang baru balik dari mencari kayu api, segera mencampakkan kayu api yang dipikulnya lalu berlari ke arah gadis itu.

“Arin! Kenapa?” Soal Nakhael bimbang. Baru sekejap dia tinggalkan Arina, tiba-tiba sahaja gadis itu mengigau dan menjerit-jerit.

Arina tidak menjawab. Matanya merenung wajah Nakhael dengan perasaan gelisah. Sejurus dia memerhatikan suasana di sekelilingnya. Hari semakin beransur malam. Rupa-rupanya dia tertidur kepenatan di bawah sebatang pohon semasa menanti Nakhael mencari kayu api di kawasan berdekatan.

“Arin, kenapa ni? Apa dah berlaku?” Soal Nakhael lagi resah. Seboleh-bolehnya dia tidak ingin sebarang perkara yang buruk menimpa gadis itu. Arina adalah amanat Alwiz padanya. Dia mahu gadis itu selamat.

“Tak ada apa-apa Nakh. Aku mimpi, itu aje.” Jawab Arina seraya tersenyum hambar. Bibir bawahnya digigit berkali-kali.

“Mimpi? Mimpi apa?” Tanya Nakhael lagi.

Arina terdiam. Da ragu-ragu mahu menyatakannya, bimbang Nakhael akan mengetawakannya. Namun mimpi yang dialaminya seperti benar-benar berlaku. Wajah Alwiz terhimbau-himbau di fikirannya.

“Nakh, kau kata Alwiz sekarang berada di Camelot kan?” Soalnya inginkan kepastian. Nakhael mengangguk.

“Dia dengan pasukan Black Raiders ada kat sana. Hermann pun ada bersamanya. Tapi kenapa kau tanya?”

“Apa mereka dah temui Kiega, Emma dan Goblin?” Soal Arina lagi.

Nakhael mengerutkan dahinya. “Setahu aku belum. Mereka ke sana pun sebab ada laporan dari perisik kita. Ada perisik kita yang mengesan kehadiran Kiega di Camelot beberapa bulan yang lalu. Tapi setakat ini belum ada tangkapan dibuat. Kiega dan orang-orangnya memang pintar menyembunyikan diri selama ini.” Jelas Nakhael.

“Aku risau Nakh..” Keluh Arina tiba-tiba.

Nakhael terdiam. Kata-kata Arina membuatkan perasaannya terus diulit kehairanan. Apa maksud Arina? Apa yang dirisaukan gadis itu sebenarnya?

“Emma dan Goblin sanggup mengorbankan diri kerana Kiega. Mereka akan jadi perisai yang kuat untuk lelaki itu. Tapi jika Kiega ada bantuan dari Tuan Drake dan Aurora, tentu sukar untuk Akademi mencarinya.” Ujar Arina seterusnya. Mata Arina beralih ke wajah Nakhael.

“Aku belum pernah bertemu dengan Tuan Drake.” Getus Nakhael. Dia pernah mendengar tentang kehebatan penasihat Raja Kreuk itu, tapi belum pernah sekalipun bersua muka dengan lelaki yang gah diperkatakan itu.

“Tuan Drake merupakan guru aku. Dia bukanlah lelaki yang jahat seperti yang disangkakan kebanyakan orang. Tapi kita tak boleh memperlekeh-lekehkan kesetiaannya terhadap apa yang dipercayainya.” Tutur Arina.

“Bagaimana dengan Aurora?” Soal Nakhael lagi ingin tahu. Kesempatan ini dirasakan terbaik untuk mengetahui musuh-musuh dari Lembah Hitam yang harus mereka perangi untuk mengekalkan kesejahteraan Negara Persekutuan, terutamanya Kerajaan Drutasia yang kini aman selepas kematian Raja Kreuk.

“Aku tidak pernah bertemu Aurora selama ini. Dia hanya muncul jika Kreuk yang memanggilnya. Tapi kuasanya hampir sama kuat dengan tenaga Psychrome yang kau miliki Nakh.” Ujar Arina seraya memandang lelaki itu.

Nakhael mengeluh panjang. Sejurus wajahnya berkerut seribu. Gadis di hadapannya ditatap tajam. “Kenapa kau beritahu aku semua ini Arina? Bukankah selama ini kau menolak untuk mendedahkan tentang Tuan Drake dan Aurora?” Soal Nakhael ingin tahu.

“Sebab aku rasa Alwiz dalam bahaya Nakh.”

“Hah?” Nakhael terpempan. Kata-kata Arina mengejutkannya. Namun belum sempat dia mahu bersuara, telinganya tiba-tiba menangkap satu bunyi. Nakhael mengalihkan pandangan, lalu bingkas bangun. Arina turut berbuat sepertinya. Kedua-duanya segera mengeluarkan pedang masing-masing.

“Kau dengar bunyi tu?” Bisik Nakhael.

Arina mengangguk. Bunyi itu seperti hampir dengan mereka. Snowball di tangannya mula diaktifkan sehingga pemegang berbentuk bulat putih itu mula mengeluarkan dua bilah pisau panjang di setiap penjuru kiri dan kanan. Nakhael turut mengaktifkan Dreamer, pedang pelindungnya yang sudah lama bersamanya sejak dia mula-mula dilatih menjadi gerero.

Tiba-tiba dua ekor Sphere yang mereka tambat tidak jauh dari situ tiba-tiba berkeadaan gelisah dan merengus agak kuat. Kuda-kuda itu menarik-narik tali yang mengikat mereka seperti takutkan sesuatu.

Nakhael cepat-cepat berlindung di sebalik sebatang pohon. Arina ditariknya bersama. Kedua-duanya saling berpandangan untuk seketika. Arina memberi isyarat untuk berhadapan dengan musuh yang tidak mereka kenali, tapi Nakhael menggeleng. Tidak bersetuju dengan niat Arina.

Sejurus muncul beberapa bunyi tapak kaki tidak jauh dari tempat persembunyian mereka. Dari tepi pohon, kedua-duanya melihat kemunculan beberapa kelibat hitam yang mengheret sekujur tubuh.

“Tak ada orang kat sini. Mungkin mereka dah tinggalkan tempat ni sebab terdengar kehadiran kita.” Ujar satu suara seakan berbisik.

“Bagus! Kita boleh curi kuda mereka dan balik ke tempat kita.” Balas satu suara lain.

“Habis, macamana dengan budak ni? Apa kita nak buat dengan dia?”

“Cobra suruh kita bawa dia balik ke istana. Tapi kata Cobra lagi, kalau dia menyusahkan kita, bunuh saja dia di sini.” Getus suara itu.

“Nak bunuh kat sini ke? Ini daerah Ratu Tiamar. Kalau dia tahu apa yang kita lakukan ini, kita semua akan mati.” Salah seorangnya seakan ragu-ragu mahu meneruskan niat mereka.

Nakhael memandang Arina dengan wajah berkerut. Dia gagal memahami maksud kata-kata lelaki itu. Siapa Cobra? Siapa budak yang mahu mereka bunuh itu?

“Begini saja, kita bunuh budak ni dan tanam mayatnya di bawah timbunan salji-salji ini. Dengan cara itu, tugas kita selesai dan Tiamar takkan tahu.” Cadang salah seorang dari lelaki-lelaki itu.

Arina mengetap bibir. Berang mendengar kata-kata lelaki yang sudah nyata berniat jahat itu. Dengan perasaan tak tertahan dia segera keluar dari tempat persembunyiannya lalu menunjukkan diri. Nakhael tercengang melihat Arina terus keluar begitu sahaja. Hendak tak hendak dia terpaksa ikut keluar.

Seperti yang diduga, ketiga-tiga lelaki berpakaian serba hitam itu terkejut melihat kemunculan gadis dan pemuda yang tak dikenali di hadapan mereka.

“Kau siapa?” Tanya salah seorang dari lelaki-lelaki itu.

Arina tidak menjawab. Matanya menghala ke arah tubuh longlai seorang anak muda belasan tahun yang kelihatan teruk dibelasah sehingga lebam-lebam. Mata anak muda itu hanya mampu dibuka separuh kerana bengkak-bengkil di mukanya. Melihat keadaan anak muda itu, Arina semakin marah. Wajah lelaki-lelaki di hadapannya direnung tajam seperti hendak ditelannya. Bedebah!

“Woi perempuan, kau jangan nak masuk campur hal kami. Elok kamu berdua beredar atau kamu berdua akan kami siat-siat sampai hancur.” Gertak salah seorang lelaki berjambang tebal. Kedua-dua orangnya sudah pun menghunus bilah pedang masing-masing yang runcing berkilat.

“Kau semua sekarang berada di daerah Tiamar. Sesiapa sahaja yang membuat kacau di tempat ini harus dibawa menghadap Tiamar dan menerima pembalasannya.” Ujar Arina dengan suara keras.

“Kau siapa yang bercakap bagi pihak Ratu bodoh tu?”

Mata Arina terbeliak. Berani lelaki-lelaki itu menghina Ratu Tiamar. Dia meramas pedangnya sekuat hati. Langkahnya beralih, bersedia mahu menerkam dan menghabiskan riwayat lelaki-lelaki itu. Namun pegangan Nakhael tiba-tiba melekat di bahunya. Dia menoleh. Memandang lelaki itu dengan wajah berkerut.

“Sabar dulu.” Bisik Nakhael lalu melangkah melewatinya. Mata Nakhael menyorot satu persatu wajah bengis di hadapannya. Sekujur tubuh anak muda belasan tahun itu turut menarik perhatiannya.

“Siapa budak tu? Kenapa kamu semua memukul dan mahu membunuhnya?” Soal Nakhael ingin tahu.

“Ini bukan urusan kau. Jaga tepi kain kau sendiri.” Balas lelaki berjambang itu seraya menatap tajam ke arah Nakhael dan Arina silih berganti.

“Kalau kamu benar-benar mahu membunuh budak itu, maka kami terpaksa menghalang. Lagipun seperti yang kamu sendiri katakan, ini daerah Tiamar. Sebarang pertumpahan darah di Gunung Ais tidak dibenarkan sama sekali.” Tukas Nakhael tenang.

Ternyata kata-kata Nakhael mengundang kemarahan lelaki-lelaki itu. Si jambang mengetap bibir seraya meramas pedang di tangannya sekuat hati. “Bedebah! Kamu berdua memang mencari nahas.” Herdik lelaki berjambang itu lalu meluru pantas ke arah Nakhael. Nakhael mengelak dengan mudah, membuatkan lelaki itu tambah berang. Pedangnya ditetak ke arah Nakhael. Nakhael mengelak lalu menghadiahkan tendangan percuma ke tubuh lelaki berjambang itu. Lelaki itu tercampak ke suatu arah.

Arina tersenyum kecil. Dia tahu Nakhael masih bersabar dengan lelaki-lelaki itu. Jika tidak masakan pedang Dreamer lelaki itu disimpan kembali ke dalam sarungnya.

“Bodoh! Kamu tengok apa lagi? Serang dia!” Jerit lelaki itu apabila dilihat kedua-dua orangnya hanya tercegat kaku menyaksikan dirinya dimalukan lelaki tampan bertubuh tinggi lampai itu. Mendengar arahan keras bersifat marah itu, kedua-duanya segera mengatur serangan.

Pedang kedua-dua lelaki itu dilibas bertubi-tubi ke arah Nakhael. Namun Nakhael berjaya mengelak tetakan-tetakan itu dengan mudah. Melihat keadaan itu, Arina diam-diam menghampiri budak lelaki yang cedera itu.

“Dik, kamu tak apa-apa?” Tanyanya sambil menyentuh pergelangan tangan anak muda itu. Nadi anak muda itu masih ada walaupun kurang teratur dan lemah. Dia segera meletakkan tapak tangannya ke pemukaan dada anak muda itu. Matanya dipejamkan. Seluruh tenaganya memusat ke suatu tempat. Bahagian kecederaan dalaman anak muda itu cuba dipulihkan menggunakan teknik yang dipelajarinya dari Tiamar sendiri.

Mata anak muda belasan tahun itu terbuka sedikit demi sedikit. Nafasnya lemah. “Arina…..”

Kelopak mata Arina terbuka luas. Matanya mengecil memandang anak muda itu. Apakah dia tersilap dengar atau sememangnya anak muda itu menyebut namanya sebentar tadi?

“Arin! Bahaya!” Jeritan Nakhael tiba-tiba berkumandang. Arina menoleh. Melihat kemunculan si jambang yang hanya beberapa jarak sahaja dengannya, akal Arina mula berkerja. Dia melebarkan telapak tangannya. Secara tiba-tiba Snowball yang terletak berhampiran anak muda itu segera terbang ke arahnya. Tangan Arina menangkap pantas senjatanya, membuatkan lelaki berjambang itu terkedu. Senjata di tangan gadis itu kini menjadi perhatiannya. Snowball?

“Kau silap besar kerana datang ke mari dan menghina Ratu Tiamar!” Usai berkata demikian, Arina memulakan serangan. Juzuk tendangannya dilancarkan ke arah lelaki itu. Belum sempat lelaki itu terhumban ke belakang, Arina bergerak dengan kepantasan yang cukup mengagumkan lalu muncul di belakang lelaki itu. Kolar baju lelaki itu ditarik dan tubuh besar itu dilambung ke atas. Tak cukup dengan itu, dia memusingkan tubuhnya dengan pantas, menghasilkan pusaran angin kencang. Dan dari pusaran itu, muncul satu tumbukan padu yang menujah tepat ke arah tubuh lelaki berjambang itu. Mata lelaki itu terbeliak. Tubuhnya lalu melulu jatuh mengenai batang pohon besar tidak jauh dari situ.

Nakhael menoleh. Melihat betapa teruknya lelaki berjambang itu dibelasah Arina, dia tersenyum kecil. Dia mengalihkan pandangannya ke arah dua lelaki di hadapannya. Wajah kedua-duanya bertukar pucat sebaik melihat keadaan ketua mereka yang berjambang itu. Tak disangka-sangka, kedua-duanya segera melutut dan merayu-rayu agar mereka dilepaskan.

“Tolong..tolong lepaskan kami. Tolong jangan apa-apakan kami tuan.” Rayu lelaki-lelaki itu dengan wajah ketakutan.

Nakhael sempat menjeling ke arah Arina yang berwajah serius. Gadis itu sedang melangkah ke arahnya dengan wajah berang. Melihat kehadiran Arina, wajah lelaki-lelaki itu semakin pucat. Sangka mereka, Arina mahu membunuh mereka, apatah lagi pedang di tangan gadis itu bersinar-sinar terkena remang bulan yang mula menampakkan diri.

“Aku boleh lepaskan kamu tapi dengan satu syarat.” Ujar Nakhael.

“Syarat apa tuan?”

“Aku mahu tahu kenapa kamu mahu membunuh budak lelaki itu? Siapa yang memberi arahan pada kamu?” Keras nada suara Nakhael bertanya.

“Tu..Tuanku Cobra tuan. Dia raja Kerajaan Megaluna.” Ujar lelaki itu tergagap-gagap.

Wajah Nakhael berkerut. Megaluna? Tapi bukankan Raja Megaluna bernama Felipe? Arina turut tergaman mendengar kata-kata lelaki itu.

“Kenapa dia nak bunuh budak tu? Apa salah budak tu pada dia?” Soal Arina pula ingin tahu.

“Itu Putera Tristar, anak almarhum Raja Felipe. Kerajaan Raja Felipe dah tumbang dan kini Raja Cobra mengambil-alih. Sebab itu Raja Cobra arahkan Putera Tristar dibunuh. Kami terpaksa ikut arahan Raja Cobra tuan. Kalau tidak kami akan turut dibunuh. Tolong kasihankan kami.” Rayu lelaki itu lagi. Temannya di sebelah hanya ikut mengangguk. Mengiyakan segala kata-katanya.

Arina menoleh ke arah anak muda itu yang masih tidak sedarkan diri. Wajahnya bingung. Dia masih ingat perkataan yang disebut oleh anak muda yang dikatakan Putera Tristar itu. Anak muda itu benar-benar menyebut namanya. Aneh! Dia tidak pernah pergi ke Megaluna. Malah dia juga tidak mengenali anak muda itu.

2 comments:

garlic said...

alamak,,ALWIZ dlm bahaya,tetb ja da musuh bru ni,,adehhh risaunya huhu...best la akak crita ni *_________*

Anita Aruszi said...

thnks..teruskan follow k..

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!